15 maut, 18 cedera kereta api funikular tergelincir di Lisbon - Utusan Malaysia

15 maut, 18 cedera kereta api funikular tergelincir di Lisbon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala 18 lagi cedera apabila sebuah kereta api funikular bersejarah yang juga tarikan pelancongan terkenal, Elevador da Gloria, tergelincir lalu merempuh sebuah bangunan berhampiran di pusat bandar raya ini.

Insiden tragis itu berlaku sekitar pukul 6 petang waktu tempatan semalam, ketika waktu puncak. Pihak berkuasa masih belum mendedahkan identiti mangsa, namun mengesahkan sebahagian daripada mereka adalah pelancong asing.

“Ini adalah hari yang amat menyedihkan buat Lisbon. Bandar ini sedang berkabung. Kami semua berduka,” kata Datuk Bandar Lisbon, Carlos Moedas, kepada media di lokasi kejadian.

Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan gerabak kuning ikonik itu remuk teruk selepas merempuh bangunan, manakala pasukan bomba dilihat bertungkus-lumus mengeluarkan penumpang yang terperangkap.

Pasukan penyelamat terus berusaha hingga lewat malam bagi membersihkan runtuhan di laluan bukit curam yang menjadi laluan utama perkhidmatan tersebut.

Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain menggesa siasatan segera dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar tragedi.

Menurut Rejimen Bomba Lisbon, kemalangan dipercayai berpunca daripada kabel yang longgar, menyebabkan kereta api tersebut hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh struktur bangunan.

Elevador da Gloria, yang mula beroperasi sejak 1885, menghubungkan kawasan Baixa dengan Bairro Alto — dua lokasi bersejarah yang menjadi tumpuan pelancong kerana pemandangan dan seni bina klasik kota Lisbon. Ia dikendalikan oleh syarikat pengangkutan awam Carris dan merupakan salah satu daripada tiga laluan funikular bersejarah yang masih beroperasi di bandar itu.

Perkhidmatan ini menggunakan sistem pemberat, di mana dua gerabak dihubungkan dengan kabel dan digerakkan oleh motor elektrik. Dalam kejadian itu, gerabak di bahagian bawah dilaporkan masih dalam keadaan baik, namun gerabak atas mengalami kerosakan teruk.

Imej dan video yang tular di media sosial menunjukkan sebuah gerabak terbalik di sisi landasan, serpihan bertaburan, dan penumpang bertempiaran menyelamatkan diri. Rakaman CNN Portugal turut memaparkan detik-detik cemas apabila sebuah lagi gerabak bergegar kuat sebelum penumpang melompat keluar melalui tingkap.

Lisbon telah mengalami peningkatan ketara dalam jumlah pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama pada musim panas. Dengan jalan sempit dan kawasan bersejarah yang padat, insiden seperti ini menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan infrastruktur pelancongan bandar tersebut.

Tragedi ini disifatkan sebagai antara kemalangan pengangkutan paling buruk dalam sejarah moden Portugal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×