TUNIS: Seorang ibu dari Britain berusia 52 tahun mendakwa dicabul ketika melakukan aktiviti parasailing semasa bercuti di Tunisia oleh seorang jurupandu lelaki yang meraba dan menekan tubuhnya ketika mereka di udara.
Dalam satu temu bual, wanita dari Merseyside itu menggambarkan bagaimana kejadian yang berlaku di kawasan peranginan berhampiran bandar Sousse tersebut membuatkannya berasa ‘kotor dan takut’.
Dia pada asalnya menempah penerbangan parasail berdua dengan seorang rakan, tetapi kakitangan memberitahu mereka bahawa angin terlalu kuat untuk naik bersama. Sebaliknya, mereka masing-masing akan terbang bersama seorang pengiring.
Rakannya terbang dahulu dan tidak menghadapi sebarang masalah. Ketika memerhatikannya dari pantai, dia menyedari terdapat jarak yang jelas antara rakannya dan jurupandu lelaki tersebut.
Namun, dia mendakwa pengalamannya sama sekali berbeza.
“Saya dapat merasakan bahagian belakang bawah bikini saya ditarik dan dia menarik tali pengikat. Dia mungkin mengetatkan harness untuk mendekatkan saya kepadanya,” katanya kepada The Sun.
“Kakinya melingkar di sekeliling saya, satu tangannya memegang payung terjun, manakala tangan satu lagi bebas. Kemudian, saya merasakan dia menyentuh kaki saya.
“Dia meraba-raba saya dan bergerak ke depan dan belakang sambil bercakap dalam bahasa Arab. Saya rasa dia menekan badannya pada saya. Saya berasa tercabul, kotor dan ketakutan. Dia hanya seorang lelaki muda, mungkin sekitar 20 tahun.
Wanita itu berkata dia menangis sejurus mendarat dan segera melaporkan kejadian tersebut kepada pengurus pusat sukan air sebelum ke balai polis tempatan.-AGENSI









