Trump tolak dakwaan perang Gaza adalah genosid - Utusan Malaysia

Trump tolak dakwaan perang Gaza adalah genosid

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENNSYLVANIA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad menolak dakwaan kempen ketenteraan Israel terhadap kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza merupakan satu bentuk genosid.

Trump menegaskan konflik itu bermula selepas serangan oleh Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

“Saya tidak fikir ia begitu. Mereka sedang berperang,” kata Trump ketika ditanya mengenai tuduhan genosid.

Israel sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan melakukan jenayah perang dengan mendakwa pihaknya tidak menyasarkan orang awam dan telah berusaha untuk memindahkan penduduk serta membenarkan kemasukan bantuan sepanjang kempen yang telah berlarutan hampir dua tahun.

Namun, pertubuhan antarabangsa menuduh Israel gagal membenarkan bantuan mencukupi masuk ke Gaza dan mengabaikan keselamatan orang awam.

“Beberapa perkara yang amat dahsyat berlaku pada 7 Oktober. Ia adalah sesuatu yang sangat mengerikan, antara yang paling buruk yang pernah saya lihat,” kata Trump ketika bersiap menaiki pesawat Air Force One di Allentown, Pennsylvania.

Serangan oleh pejuang Hamas ke selatan Israel pada 2023 mengorbankan kira-kira 1,200 nyawa dan menyaksikan 251 orang diculik. Sehingga kini, 50 tebusan masih ditahan di Gaza, dan 20 daripadanya dipercayai masih hidup.

Ketika diminta memberikan perkembangan terkini mengenai Gaza, Trump mengulangi bahawa AS sedang berusaha menyalurkan bantuan makanan kepada rakyat Palestin di wilayah tersebut.

“Kami mahu rakyat di sana mendapat makanan. Kami satu-satunya negara yang benar-benar berbuat demikian. Kami menyediakan dana bagi memastikan mereka dapat makan. Dan Steve Witkoff menjalankan tugasnya dengan baik,” katanya.

Trump berkata, Washington memberikan sumbangan besar terutamanya untuk membeli makanan bagi penduduk Gaza.
“Kami tidak mahu orang kelaparan atau mati kebuluran. Dan ada perkara buruk yang sedang berlaku,” tambahnya, tanpa memberikan butiran lanjut.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pelbagai negara telah menggandakan usaha menghantar bantuan makanan ke Gaza, susulan laporan kebuluran yang semakin membimbangkan.

Israel menafikan dakwaan wujud kebuluran di Gaza dan menuduh Hamas menghalang serta merampas bantuan yang dihantar ke wilayah itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN