WASHINGTON: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky tiba di ibu negara Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai mesyuarat penting di Rumah Putih bersama Presiden, Donald Trump dan beberapa pemimpin Eropah dalam usaha merangka penyelesaian bagi menamatkan pencerobohan Russia.
Beberapa jam sebelum pertemuan dengan Zelensky, Trump melalui platform media sosialnya mengemukakan syarat keras terhadap Kyiv, menegaskan Ukraine tidak akan diterima menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta menolak kemungkinan negara itu mendapatkan semula semenanjung Crimea yang dirampas Russia pada 2014.
“Zelensky boleh menamatkan perang dengan Russia hampir serta-merta jika beliau mahu, atau memilih untuk terus berperang. Ingat bagaimana ia bermula. Tiada usaha mendapatkan semula Crimea yang diberikan Obama (12 tahun lalu tanpa sebarang tembakan!), dan TIADA KEMASUKAN UKRAINE KE DALAM NATO.
“Sesetengah perkara tidak pernah berubah!!!” tulis Trump di laman Truth Social miliknya.
Kenyataan itu segera mendapat perhatian tokoh kanan Russia dan Ketua Perunding negara itu, Kirill Dmitriev yang turut berkongsi semula hantaran Trump di laman X.
“Trump dan pasukannya sedang mendorong ke arah penyelesaian sebenar. Biarlah penyelesaian masalah dan keamanan menguasai pada hari besar ini,” katanya.
Trump sebelum ini memberi isyarat pentadbirannya mungkin bersedia menyokong rancangan keselamatan Eropah bagi mengekang sebarang tindakan lanjut Russia seperti disebut perundingnya, Steve Witkoff yang menekankan Artikel 5 NATO tentang prinsip pertahanan kolektif.
Bagaimanapun, pihak pentadbiran Trump menegaskan beliau masih belum memutuskan bentuk sokongan akhir.
Zelensky bersama sekutunya dari Eropah kini berdepan tekanan besar, dengan Trump dilihat bergegas mendapatkan perjanjian damai yang boleh dijadikan kejayaan peribadi untuk memenangi ‘Hadiah Nobel’.
Trump juga mencadangkan perang boleh ditamatkan segera sekiranya Zelensky akur dengan tuntutan Moscow, sesuatu yang ditolak oleh Eropah.
Sekutu Eropah sebaliknya menegaskan hanya Washington mempunyai kuasa sebenar untuk menghentikan pencerobohan Russia, tetapi Trump memilih jalan diplomasi dengan Kremlin berbanding campur tangan langsung.-AGENSI










