WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mengumumkan peguamnya merangka perintah eksekutif untuk menghapuskan pengundian melalui pos.
Tindakan itu dilakukan beberapa hari Presiden Russia Vladimir Putin didakwa memberitahunya pilihan raya AS ‘dimanipulasi’ kerana penggunaan undi pos.
Dalam satu mesyuarat di Rumah Putih bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Trump berkata, barisan peguamnya mula merangka satu perintah eksekutif bagi menghapuskan undi pos.
Trump juga secara salah mendakwa bekas Presiden Jimmy Carter sebelum ini turut menentang undi pos.
Namun kenyataan Trump itu bercanggah dengan fakta.
Semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2020, Carter sebenarnya menggesa perluasan undi pos dan cara terbaik untuk mengatasi penipuan pengundi dalam sistem undi pos ialah dengan memperkuat perlindungan keselamatan serta memperluas akses pengundian.
Trump memulakan pagi Isnin dengan satu hantaran panjang di platform Truth Social, menyatakan beliau akan mengetuai gerakan untuk menghapuskan UNDI POS.”
Beliau turut menyasarkan penggunaan ‘mesin pengundian yang sangat tidak tepat, mahal, dan kontroversi’, yang menurutnya menelan belanja ‘10 kali ganda lebih mahal berbanding kertas undi bertanda air yang lebih tepat dan canggih’.
Trump juga secara salah mendakwa AS kini satu-satunya negara di dunia yang masih menggunakan undi pos.
“Negara lain sudah menghentikannya kerana PENIPUAN PENGUNDI yang sangat besar,” katanya.
Namun, data daripada International IDEA menafikan dakwaan ini, menunjukkan 34 negara di seluruh dunia membenarkan undi pos, termasuk 12 negara yang membenarkannya untuk semua pengundi dan 22 untuk sesetengah pengundi.
Kebanyakan negara Eropah menawarkan pilihan ini, dan lebih 100 negara membenarkan warganegara mengundi melalui pos dari luar negara.
Mahkamah di seluruh AS menolak banyak dakwaan penipuan selepas pilihan raya presiden 2020, dan tidak menemui sebarang bukti ketidakteraturan secara besar-besaran.
Trump menentang undi pos walaupun beliau dan isteri, Melania Trump, pernah mengundi melalui pos pada tahun 2020 dalam pilihan raya pendahuluan Florida.











