Tahanan wanita Palestin diserang guna anjing di penjara Israel - Utusan Malaysia

Tahanan wanita Palestin diserang guna anjing di penjara Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Persatuan Tahanan Palestin (PPS) mendedahkan siri penyeksaan fizikal dan psikologi terhadap wanita Palestin yang ditahan di Penjara Damon oleh tentera Israel.

Dalam laporan yang diterbitkan bagi separuh pertama, PPS merekodkan empat insiden berasingan pada 4, 8, 10 dan 14 Ogos lalu, termasuk penggunaan anjing pengesan, gas pemedih mata serta tindakan menghina bagi melemahkan semangat tahanan wanita.

Testimoni yang diperoleh semasa lawatan lapangan mendedahkan wanita Palestin dibelenggu, dipaksa menundukkan kepala serta diarak di kawasan penjara dengan tujuan mengaibkan mereka.

Selain penderaan terus, tahanan wanita turut berdepan keadaan hidup yang sangat daif.

Kekurangan makanan, hidangan tidak berkualiti serta penularan penyakit kulit akibat kebersihan yang buruk dilaporkan semakin memburukkan keadaan, ditambah suhu panas, kelembapan tinggi dan pengudaraan tidak mencukupi.

Ketika ini, 48 wanita Palestin masih ditahan di Penjara Damon, termasuk remaja serta seorang wanita hamil yang hampir melahirkan anak.

PPS menegaskan penderaan itu mencerminkan dasar sistematik penjara Israel yang semakin keras sejak bermulanya serangan ketenteraan ke atas Gaza.

PPS turut memberi amaran keadaan tahanan wanita Palestin kini berada pada tahap tragis dan tidak tertanggung, walaupun mereka terus menunjukkan ketabahan dalam menghadapi pelanggaran hak asasi yang serius. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×