TEBING BARAT: Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Mike Johnson mencetuskan kontroversi antarabangsa apabila membuat lawatan ke penempatan haram Israel di Ariel, Tebing Barat yang diduduki, menjadikannya lawatan pertama seumpamanya oleh pegawai tertinggi Kongres AS ke kawasan yang dipertikaikan itu.
Lawatan Johnson itu disertai oleh 15 anggota Kongres lain dan disifatkan oleh media Israel sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik antara AS dan Israel, serta mendalami pengetahuan mengenai wilayah Judea dan Samaria, merujuk kepada istilah yang digunakan Israel bagi kawasan Tebing Barat yang diduduki secara haram sejak 1967.
Menurut saluran berita Israel, Channel 7, Johnson yang merupakan speaker dari Parti Republikan dalam kenyataannya menegaskan Judea dan Samaria adalah hak milik sah rakyat Yahudi, satu kenyataan bertentangan dengan pendirian rasmi AS selama ini tidak mengiktiraf tuntutan kedaulatan Israel ke atas wilayah tersebut.
Sebagai simbolik lawatan, delegasi tersebut turut menyertai acara penanaman pokok di penempatan berkenaan.
Datuk Bandar Ariel, Yair Chetboun menyifatkan lawatan itu sebagai bersejarah dan mencerminkan nilai bersama, persahabatan mendalam serta kerjasama kukuh antara kedua-dua negara.
Namun, tindakan Johnson itu mengundang kecaman keras daripada Kementerian Luar Palestin yang menyifatkan lawatan tersebut sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi legitimasi antarabangsa.
Kementerian itu juga menganggap kenyataan Johnson sebagai provokatif dan bercanggah secara jelas dengan pendirian rasmi AS berhubung penempatan haram dan keganasan pendatang Yahudi terhadap rakyat Palestin.
“Semua penempatan haram Israel adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang, serta merosakkan usaha ke arah penyelesaian dua negara dan keamanan berkekalan,” tegas kenyataan itu.
Berdasarkan undang-undang antarabangsa, semua wilayah yang ditakluki oleh Israel dalam perang 1967 termasuk Tebing Barat, Timur Baitulmaqdis dan Bukit Golan di Syria serta semua penempatan haram yang dibina di kawasan tersebut, adalah tidak sah di sisi undang-undang dan tidak diiktiraf oleh majoriti masyarakat antarabangsa. –AGENSI










