Siasatan PBB terhadap Israel tergendala akibat sekatan dana

Siasatan PBB terhadap Israel tergendala akibat sekatan dana

KENDERAAN tentera Israel ditempatkan di sepanjang sempadan dengan Semenanjung Gaza, sejak minggu lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditugaskan meneliti kes keganasan peneroka Israel dan pemindahan senjata ke Israel untuk digunakan dalam perang Gaza, tidak dapat menyiapkan kerja mereka berikutan kekangan kewangan, menurut satu dokumen.

Situasi itu mencerminkan keseriusan masalah kekurangan dana dalam sistem PBB berpunca daripada kemerosotan komitmen penderma dan langkah penjimatan hingga menjejaskan usaha akauntabiliti global terhadap penyalahgunaan, selepas siasatan Congo terhenti awal tahun ini.

Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas mengenai Wilayah Palestin, yang ditubuhkan pada Mei 2021 oleh Majlis Hak Asasi Manusia berpangkalan di Geneva boleh memberikan bukti jenayah antarabangsa untuk digunakan dalam siasatan praperbicaraan tribunal seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

TUNGGAKAN BAYARAN MANDATORI

Tahun lalu, majlis itu meluluskan permintaan daripada Pakistan untuk meneliti bukti tambahan berhubung pemindahan senjata ke Israel dalam konteks perang Gaza dan keganasan peneroka haram.

Namun, Pengerusi suruhanjaya itu, Navi Pillay, dalam surat kepada presiden majlis pada 6 Ogos lalu berkata, kekurangan dana menyebabkan badan tersebut tidak dapat menggaji kakitangan.

“Suruhanjaya mula memaklumkan kepada penaja dua resolusi ia tidak dapat menghasilkan laporan yang diwajibkan serta membentangkannya kepada majlis pada Mac 2026,” kata Pillay, yang pernah berkhidmat sebagai hakim di ICC dan juga bekas Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia.

Israel secara konsisten mengkritik suruhanjaya itu, yang mengecam tindakan tenteranya sejak ia melancarkan serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023.

Tunggakan bayaran mandatori PBB, termasuk daripada penyumbang utama Amerika Syarikat (AS) yang berhutang kira-kira AS$1.5 bilion (RM6.3 bilion), memburukkan lagi krisis kecairan badan dunia itu yang sudah pun berlarutan.

Sebagai tindak balas, PBB merancang memotong belanjawannya sebanyak 20 peratus.

Secara keseluruhan, 12 daripada 47 anggota pengundi majlis ketika ini, yang dijadual bersidang pada September bagi membincangkan krisis Sudan dan Afghanistan, masih mempunyai tunggakan yuran, menurut pengiraan Perkhidmatan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Nada Al Nashif berkata, siasatan kini dijalankan dengan hanya kapasiti 50 peratus kakitangan.

“Tanpa ketersediaan dana, pelaksanaan akan menjadi semakin terhad, malah dalam sesetengah kes ia langsung tidak dapat diteruskan,” katanya.

SEKAT PEMBIAYAAN BANTUAN ASING

Kelmarin, pentadbiran Presiden, Donald Trump meminta Mahkamah Agung AS campur tangan dalam usahanya menyekat berbilion dolar daripada organisasi bantuan asing serta membatalkan injunksi yang memaksanya meneruskan pembayaran.

Dalam permohonan kecemasan difailkan Jabatan Kehakiman, mahkamah yang mempunyai majoriti konservatif 6-3 itu dimaklumkan, panel 2-1 Mahkamah Rayuan AS bagi Litar Daerah Columbia awal bulan ini memutuskan injunksi berkenaan wajar untuk dibatalkan.

Walaupun keputusan itu dibuat, injunksi yang dikeluarkan Hakim Daerah AS berpangkalan di Washington, Amir Ali, masih berkuat kuasa selepas mahkamah rayuan persekutuan minggu lalu menolak untuk menggantungnya.

Amir turut menolak permohonan serupa pada Isnin lepas.

Trump mengenakan penangguhan selama 90 hari terhadap semua bantuan asing pada 20 Januari lalu, ketika beliau mengangkat sumpah untuk penggal kedua di Rumah Putih.

Perintah eksekutif itu diikuti langkah agresif untuk melemahkan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), termasuk mengarahkan sebahagian besar kakitangannya bercuti dan meneliti kemungkinan meletakkan agensi yang dahulunya bebas di bawah Jabatan Negara.

Dua kumpulan bukan untung yang menerima pembiayaan persekutuan, Gabungan Advokasi Vaksin AIDS dan Rangkaian Pembangunan Kewartawanan, memfailkan saman dengan mendakwa pembekuan dana oleh Trump adalah tidak sah.

Pentadbiran Trump dalam pemfailannya kepada Mahkamah Agung berkata, dana yang diperuntukkan oleh Kongres dan tertakluk kepada injunksi itu berjumlah puluhan bilion dolar, dengan kira-kira AS$12 bilion (RM50.7 bilion) daripadanya perlu dibelanjakan Jabatan Negara sebelum 30 September, tempoh akhir peruntukan tersebut.

Pentadbiran berkata, tanpa campur tangan hakim Mahkamah Agung, ia akan dipaksa untuk terus membuat pembayaran sebelum tamat tempoh, sekali gus mengetepikan pertimbangan dasar luar eksekutif sama ada mahu meneruskan pembatalan peruntukan dan menggagalkan dialog antara cabang kerajaan.

Amir, yang dilantik Presiden Demokrat Joe Biden, mengarahkan pentadbiran Trump membayar hampir AS$2 bilion (RM8.45 bilion) dalam bantuan tertunggak kepada rakan kemanusiaan di seluruh dunia.

Mac lalu, Mahkamah Agung AS dengan undian 5-4 menolak permintaan pentadbiran untuk mengelak daripada membuat pembayaran tersebut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN