Selepas lima tahun, mangsa letupan Pelabuhan Beirut masih trauma

Selepas lima tahun, mangsa letupan Pelabuhan Beirut masih trauma

GABUNGAN gambar menunjukkan detik awal letupan besar yang berlaku di Pelabuhan Beirut pada 4 Ogos 2020. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Di sebuah bilik hospital di kawasan pergunungan Lubnan, Lara Hayek, 47 tahun, hanya terbaring, tidak mampu bergerak, bercakap atau memberi sebarang reaksi.

Keadaan itu berlarutan sejak lima tahun lalu, selepas letupan dahsyat di Pelabuhan Beirut meragut kesihatannya dan sejak itu juga, ibunya, Najwa setia menemaninya sambil menunggu dengan harapan agar keadilan akhirnya akan ditegakkan.

Letupan tersebut meninggalkan kesan yang sangat parah kepada Lara selepas serpihan menembusi matanya, menyebabkan pendarahan otak yang serius hingga mencetus serangan jantung.

Kini, tubuh Lara yang lemah bergantung sepenuhnya kepada bantuan perubatan, bernafas menggunakan tiub trakeostomi dan menerima nutrien melalui tiub penyusuan yang dimasukkan ke dalam perutnya.

Lara ketika itu berehat di sofa selepas pulang dari kerja di sebuah apartment berhampiran Kementerian Luar, apabila letupan pada 4 Ogos 2020 yang kekuatannya seumpama gempa bumi meranapkan sebahagian besar Beirut.

“Kerajaan mengabaikan ke­wujudan anak saya, enggan menanggung kos rawatan sama seperti ramai lagi mangsa lain yang terpaksa membayar sendiri perbelanjaan kesihatan mereka,” kata Najwa kepada Arab News.

Gegaran umpama bom atom

Letupan yang berlaku sekitar pukul 5:15 petang (waktu tempatan) itu berlaku ketika orang ramai dalam perjalanan pulang atau berada di pejabat dan kediaman masing-masing.

Kebakaran tercetus di sebuah gudang di pelabuhan yang menyimpan 2,750 tan ammonium nitrat secara tidak selamat, bersama kerosin, minyak, bunga api, dan metanol yang dipercayai menyala semasa kerja kimpalan dilakukan di pintu masuk fasiliti tersebut.

Menjelang pukul 6:06 petang, api marak mencetuskan letupan sekuat bom atom yang memusnahkan sebahagian ibu kota, membentuk kawah sedalam 40 meter di bawah laut, meragut lebih 220 nyawa serta mencederakan 6,500 yang lain.

Jumlah korban terus meningkat mencecah 245 orang apabila pesakit koma meninggal dunia akibat kecederaan.

Jenayah tanpa hukuman

Lima tahun selepas letupan itu, mereka yang bertanggungjawab masih bebas.

Siasatan kehakiman menamakan rangkaian pihak yang terlibat termasuk bekas perdana menteri, ahli kabinet, pegawai tentera kanan, keselamatan, kastam dan kehakiman.

Kesalahan mereka meliputi dari kecuaian profesional hinggalah kepada kemungkinan pembunuhan terancang.

Tahun ini, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Nawaf Salam mengisytiharkan hari ulang tahun tragedi itu sebagai hari berkabung kebangsaan.

Bendera dikibarkan separuh tiang di semua bangunan rasmi, pentadbiran awam dan majlis perbandaran, serta siaran radio dan televisyen disesuaikan untuk mencerminkan kesedihan rakyat Lubnan.

Sepanduk-sepanduk dinaikkan di kawasan yang sudah dibina semula, antaranya tertera ayat seperti ‘Kami tidak akan lupa dan tidak akan memaafkan’ dan ‘4 Ogos bukan sekadar ingatan, ia adalah jenayah tanpa hukuman’.

Rakyat Lubnan masih menantikan pendakwaan rasmi dalam siasatan yang diketuai Hakim, Tarek Bitar, yang berjanji untuk mengeluarkan keputusan tahun ini bagi mendakwa semua pihak rasmi yang terlibat.

Siasatan Tarek pernah dibekukan selama 13 bulan, namun disambung semula awal tahun ini selepas pemilihan Presiden Michel Aoun dan pelantikan Nawaf, sejajar dengan perubahan kuasa politik di Lubnan.

Aoun dan Nawaf berikrar untuk memperkukuh kebebasan badan kehakiman, menghalang campur tangan dalam urusan kehakiman dan menentang budaya kebal daripada hukuman.

Kali terakhir Bitar mengadakan sesi soal siasat pada 24 Disember 2021, sebelum disekat melalui puluhan saman yang difailkan oleh pegawai tertuduh.

Jumlah tuntutan untuk menggugurkan beliau semakin meningkat.

Hezbollah melancarkan kempen menuntut Bitar disingkirkan, menjadikan siasatan bertambah rumit akibat campur tangan politik dan kekacauan kehakiman.

Sumber kehakiman memberitahu Arab News, jumlah tertuduh kini mencecah 70 orang.

Sumber politik menjangkakan keputusan pendakwaan dikeluarkan tidak lama lagi kerana semua bukti sudah lengkap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN