MOSCOW: Russia pada Selasa memberi bayangan ia berkemungkinan akan mula menempatkan peluru berpandu jarak sederhana, susulan keputusan menamatkan moratorium sendiri terhadap penghasilan dan penempatannya, jenis senjata yang sebelum ini dilarang di bawah perjanjian era Perang Dingin bersama Amerika Syarikat (AS).
Di bawah Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) yang dimeterai pada tahun 1987, Washington dan Moscow bersetuju untuk melarang peluru berpandu dengan jarak antara 500 hingga 5,500 kilometer.
Namun, perjanjian tersebut terbatal apabila Presiden AS, Donald Trump, menarik diri daripada perjanjian berkenaan pada 2019 atas dakwaan Russia gagal mematuhi komitmen perjanjian tersebut.
Ketika itu, Kremlin menyatakan pihaknya akan terus mematuhi moratorium selagi AS tidak menempatkan sistem peluru berpandu berhampiran sempadan Russia.
Bagaimanapun, pada Isnin lalu Kementerian Luar Russia secara rasmi mengumumkan penamatan sekatan sendiri tersebut, dan semalam, Kremlin menyatakan negara tersebut kini bebas untuk bertindak balas termasuk dalam soal penempatan senjata terbabit.
“Russia kini tidak lagi terikat dengan sebarang sekatan dalam hal ini. Kami tidak lagi menganggap diri kami tertakluk kepada mana-mana had,” kata jurucakap Presiden Vladimir Putin, Dmitry Peskov kepada wartawan.
Tambah beliau, Rusia kini berhak, jika perlu, untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk penempatan peluru berpandu berkenaan, namun menjelaskan tiada pengumuman terbuka akan dibuat sekiranya keputusan itu diambil.
Pengumuman itu hadir susulan kenyataan Trump baru-baru ini beliau telah mengarahkan penempatan dua kapal selam nuklear ‘di rantau ini’, susulan pertikaman lidah di media sosial dengan bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev.
Medvedev, dalam kenyataan media sosial pertamanya selepas insiden itu, memberi amaran musuh-musuh Russia kini perlu bersedia menghadapi realiti baharu.
“Ini adalah realiti baharu yang semua musuh kami perlu hadapi. Nantikan langkah seterusnya,” tegasnya. –AGENSI











