Rundingan tangani pencemaran plastik global gagal capai kata putus - Utusan Malaysia

Rundingan tangani pencemaran plastik global gagal capai kata putus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Rundingan memuktamadkan perjanjian global memerangi pencemaran plastik bertukar tegang dan tidak menentu apabila puluhan negara menolak draf terkini yang dibentangkan, sekali gus menggagalkan kemajuan dalam rundingan yang sudah berjalan selama hampir dua setengah tahun.

Perjanjian yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini dibincangkan oleh 184 negara di Geneva, dengan masa yang semakin suntuk untuk mencapai kesepakatan.

Pengerusi rundingan, Luis Vayas Valdivieso dari Ecuador, membentangkan draf baharu yang telah dikemas kini agar lebih bertolak ansur. Namun, sesi perbincangan berakhir lebih awal selepas teks tersebut mendapat kritikan meluas daripada pelbagai pihak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Negara-negara pengeluar minyak menyuarakan bantahan keras, mendakwa draf tersebut melampaui garis merah yang telah mereka tetapkan dan mendesak agar skop perjanjian dikecilkan.

Panama menyatakan matlamat utama adalah untuk menghentikan pencemaran plastik sepenuhnya, bukan sekadar membentuk perjanjian tanpa sebarang kuasa penguatkuasaan.

Kesatuan Eropah (EU) pula menyifatkan cadangan itu sebagai “tidak boleh diterima” kerana kekurangan langkah yang jelas, kukuh, dan boleh dilaksanakan. Kenya turut menyatakan kekecewaan kerana tiada kewajipan yang mengikat secara global.

Tuvalu, mewakili 14 negara kepulauan kecil di Pasifik, memberi amaran draf tersebut berisiko membawa kepada perjanjian yang gagal melindungi rakyat, budaya dan ekosistem mereka daripada ancaman plastik.

Sementara itu, Britain mengkritik teks tersebut sebagai hanya mendorong negara-negara ke arah “persetujuan minimum”, manakala Norway berkata ia tidak menepati janji untuk menamatkan pencemaran plastik.

Bangladesh pula menyifatkan draf itu sebagai gagal secara asas kerana tidak menangani keseluruhan kitar hayat produk plastik serta bahan kimia toksik yang terkandung di dalamnya, termasuk kesannya terhadap kesihatan manusia.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar seperti Greenpeace, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), dan Pusat Undang-Undang Alam Sekitar Antarabangsa (CIEL) turut menyuarakan kekecewaan terhadap draf tersebut.

Statistik menunjukkan lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia, separuh daripadanya untuk barangan sekali guna. Namun, hanya sembilan peratus benar-benar dikitar semula. Selebihnya, 46 peratus berakhir di tapak pelupusan, 17 peratus dibakar, dan 22 peratus lagi tidak diurus dengan sempurna, menyebabkan pencemaran persekitaran terus meningkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN