SOUTH PADRE ISLAND: Syarikat penerokaan angkasa milik jutawan Elon Musk, SpaceX, menangguhkan ujian penerbangan roket mega Starship yang dijadualkan semalam selepas mengesan masalah teknikal pada sistem sokongan darat.
Penangguhan itu sekali gus menjadi satu lagi kegagalan terbaharu dalam usaha roket terbesar dunia itu menguasai penerokaan angkasa lepas.
Pelancaran roket gergasi setinggi 123 meter itu sepatutnya dilakukan dari fasiliti Starbase di selatan Texas pada pukul6.30 petang waktu tempatan, namun dibatalkan kira-kira 15 minit sebelum detik pelepasan.
“Penerbangan ke-10 Starship ditangguhkan bagi memberi masa untuk menyelesaikan isu pada sistem darat,” kata SpaceX menerusi platform X tanpa memperincikan masalah yang berlaku.
Bagaimanapun, papan kira detik di laman web syarikat itu menunjukkan percubaan baharu dijadualkan pada malam Isnin waktu tempatan, manakala penutupan jalan berhampiran tapak pelancaran memberi petunjuk percubaan semula juga berkemungkinan dilakukan pada Selasa.
Misi selama sejam itu sepatutnya menguji peringkat atas roket dengan beberapa siri percubaan sebelum peringkat bawah roket dijadualkan terhempas di Lautan Hindi.
Sejam sebelum ujian dibatalkan, Musk sempat mengumumkan di laman sosial X Starship bakal dilancarkan malam itu, namun tidak mengulas lanjut selepas penangguhan diumumkan.
Starship menjadi komponen utama impian Musk untuk meneroka Marikh, selain menjadi harapan NASA bagi misi menghantar semula angkasawan ke bulan.
Namun, bahagian peringkat atas roket itu sepatutnya membawa kargo dan kru dilaporkan meletup dalam ketiga-tiga ujian sebelum ini sepanjang tahun ini, termasuk dua ujian yang mengakibatkan serpihan jatuh ke beberapa pulau di Caribbean, manakala satu lagi hancur ketika berada di angkasa.
Musk bagaimanapun tetap mempertaruhkan masa depan SpaceX pada sistem roket ini.









