GAZA: Israel sudah memusnahkan sepenuhnya lebih 1,000 bangunan di kejiranan Zeitoun dan Sabra di Gaza City sejak memulakan pencerobohan terhadap bandar itu 6 Ogos lalu, sekali gus memerangkap ratusan penduduk di bawah runtuhan.
Israel memaklumkan tenteranya ‘belum memulakan operasi secara rasmi’ untuk menawan Gaza City, namun kemusnahan di bandar itu amat teruk.
Menurut Pertahanan Awam Palestin dalam satu kenyataan, pengeboman berterusan dan laluan masuk yang disekat menghalang banyak operasi menyelamat serta penghantaran bantuan di kawasan berkenaan.
Jelas kenyataan itu, petugas kecemasan terus menerima banyak laporan orang hilang tetapi tidak dapat memberi tindak balas manakala hospital-hospital pula sarat dengan mangsa serangan.
“Terdapat kebimbangan serius terhadap pencerobohan berterusan tentera Israel ke dalam Gaza City pada ketika pasukan lapangan kekurangan kapasiti untuk menangani serangan bertubi-tubi yang sedang berlaku.
“Tiada kawasan yang selamat di Semenanjung Gaza, sama ada di utara atau selatan kerana pengeboman terus menyasarkan orang awam di rumah mereka, di tempat perlindungan, malah di kem-kem pelarian,” kata kenyataan itu.
Kereta kebal Israel kini memasuki kejiranan Sabra ketika Israel bergerak untuk menguasai sepenuhnya Gaza City, memaksa hampir sejuta penduduk Palestin berpindah ke selatan.
Kenyataan Pertahanan Awam itu dilihat mengesahkan kebimbangan Israel merancang untuk memusnahkan kawasan tersebut sepenuhnya seperti yang berlaku di Rafah, kempen yang berulang kali ditegaskan penyokong hak asasi manusia bertujuan untuk mengusir semua rakyat Palestin dari Gaza.
Menurut jabatan kecemasan dan ambulans di wilayah itu, sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak antara mangsa terbaharu yang terbunuh dalam serangan ke atas sebuah pangsapuri di Jalan al-Jalaa.
Kawasan yang kini diisytihar mengalami kebuluran itu berdepan pengeboman tanpa henti sejak beberapa minggu lalu.
Penduduk melaporkan, letupan kedengaran bertalu-talu di sekitar kejiranan itu, manakala beberapa bangunan turut diletupkan di utara berhampiran kem pelarian Jabalia yang sudah pun musnah teruk.
Menurut sumber perubatan kepada Al Jazeera, sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dalam serangan Israel di Gaza pada Ahad, termasuk 27 di Gaza City dan 24 lagi ketika mendapatkan bantuan.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, lapan penduduk Palestin meninggal dunia akibat kebuluran yang berpunca daripada sekatan Israel.
Kes terbaharu itu meningkatkan jumlah kematian akibat malnutrisi kepada 289 orang, termasuk 115 kanak-kanak sejak perang bermula.
Pasukan tentera Israel juga didakwa secara ‘rutin’ melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang kelaparan ketika mereka cuba mendapatkan bungkusan bantuan di tapak Yayasan
Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Mustahil untuk terus hidup
Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini menyifatkan kebuluran sebagai malapetaka terakhir yang melanda Gaza, dengan penduduk sedang ditenggelamkan ke ‘neraka dunia dalam segala bentuk’.
“Tidak akan berulang lagi’ kini dengan sengaja sudah bertukar maksud kepada ‘berulang lagi’. Ini akan menghantui kita. Penafian íni adalah bentuk ekspresi paling keji terhadap krisis kemanusiaan melampau ini,” tulis Lazzarini di platform X.
Beliau menegaskan, sudah tiba masanya pentadbiran Israel membenarkan organisasi bantuan memberikan pertolongan serta membenarkan wartawan asing memasuki wilayah tersebut.
Kementerian Dalam Negeri Gaza pula memberi amaran terhadap rancangan Israel untuk memindahkan penduduk secara paksa dari Gaza City dan kawasan utara sambil menggesa orang ramai supaya tidak meninggalkan rumah mereka walaupun di tengah-tengah pengeboman hebat.
“Kami menggesa rakyat dan pelarian yang kini tinggal di Gaza City supaya tidak tunduk kepada ancaman dan keganasan rejim pendudukan dan menolak untuk berpindah ke kawasan lain termasuk ke wilayah tengah dan Khan Younis.
“Tiada tempat yang selamat di mana-mana wilayah Semenanjung Gaza dan pendudukan melakukan jenayah paling kejam setiap hari, termasuk membedil khemah pelarian di kawasan yang digelar secara palsu sebagai zon kemanusiaan atau kawasan selamat,” kata kementerian itu.
Wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary yang membuat liputan dari Deir el-Balah berkata, penduduk Palestin kini tidak mempunyai pilihan dan terpaksa melarikan diri dari kawasan Gaza City yang dibanjiri bedilan udara dan serangan dron quadcopter yang makin intensif.
“Kami menemui beberapa keluarga ini dan mereka memberitahu, hampir mustahil bagi penduduk untuk terus hidup kerana setiap kali ketika mereka melarikan diri, dron quadcopter akan datang melepaskan tembakan ke arah apa sahaja yang bergerak di kawasan itu.
“Ada penduduk yang selamat dan berjaya melarikan diri, tetapi ada juga yang terperangkap dan tidak dapat keluar,” jelasnya.