WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan beliau mula mengatur satu sidang kemuncak damai antara Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Presiden Russia Vladimir Putin, selepas perbincangan intensif bersama pemimpin Eropah di Rumah Putih.
Trump berkata, beliau berhubung terus dengan Putin melalui panggilan telefon selepas satu mesyuarat yang digambarkan sebagai ‘sangat baik’ bersama pemimpin Eropah dan Ukraine di Washington.
“Saya mula membuat persiapan untuk satu pertemuan antara Presiden Putin dan Presiden Zelensky, di lokasi yang akan ditentukan kemudian,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.
Beliau turut menyatakan hasrat mengadakan sidang tiga hala bersama kedua-dua pemimpin dalam usaha mengakhiri perang Russia-Ukraine yang telah berlarutan sejak 2022.
Menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu, Putin menyatakan kesediaan bertemu dengan Zelensky, satu perkembangan yang dilihat sebagai peluang besar untuk mencapai penyelesaian damai.
Trump juga mendedahkan mereka telah membincangkan tentang jaminan keselamatan untuk Ukraine, yang akan disediakan oleh negara-negara Eropah dengan penyelarasan bersama Washington.
Rumah Putih menjadi lokasi pertemuan berprofil tinggi yang menghimpunkan Trump, Zelensky dan pemimpin dari Britain, Perancis, Jerman, Itali, Finland, Suruhanjaya Eropah dan NATO.
Zelensky turut mengadakan pertemuan empat mata bersama Trump di Pejabat Oval, yang disifatkannya sebagai pertemuan ‘terbaik’ antara mereka setakat ini.
Berbeza dengan kunjungan Februari lalu yang tegang dan dipenuhi kritikan, kali ini suasana lebih mesra.
“Dalam seminggu atau dua minggu lagi, kita akan tahu sama ada kita mampu selesaikan konflik ini atau ia akan terus berlarutan,” kata Trump semasa mesyuarat itu.
Pemimpin Eropah yang menghadiri mesyuarat itu masih bimbang terhadap desakan Trump agar Kyiv berkompromi, termasuk menyerahkan wilayah seperti Crimea dan membatalkan hasrat menyertai NATO.
Ketua NATO, Mark Rutte, berkata beliau ‘teruja’ dan mahu peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mencadangkan satu sidang empat hala sesama pemimpin Eropah turut diadakan untuk menangani konflik ini secara lebih menyeluruh.
Canselor Jerman, Friedrich Merz, menegaskan gencatan senjata perlu dicapai dahulu sebelum sebarang sidang damai penuh diadakan. Beliau turut mengingatkan Ukraine tidak boleh dipaksa menyerahkan tanah kepada Russia.









