DAMSYIK: Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa menolak untuk menyertai Perjanjian Abraham, menegaskan bahawa konflik negaranya dengan Israel berbeza secara asas daripada konflik negara-negara Arab lain.
Dalam kenyataan yang diterbitkan oleh majalah Arab Saudi, Al-Majalla, Ahmad berkata, pendekatan Syria berasaskan dasar ‘sifar masalah’ dengan negara jiran, namun menekankan normalisasi dengan Israel bukan pilihan yang sedang dipertimbangkan.
“Perjanjian itu ditandatangani dengan negara-negara yang tidak mempunyai tanah yang diduduki atau konflik langsung dengan Israel. Situasi Syria berbeza, kami masih mempunyai Dataran Tinggi Golan yang diduduki,” katanya.
Perjanjian Abraham ialah perjanjian yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan ditandatangani ketika penggal pertama Presiden AS, Donald Trump pada tahun 2020 bagi menormalisasikan hubungan Israel dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi.
Pemimpin Syria itu berkata, keutamaan Damsyik ialah menghidupkan semula Perjanjian Pengasingan 1974 yang dimeterai di bawah pengantaraan PBB atau perjanjian serupa bagi menstabilkan kawasan selatan Syria di bawah pemantauan antarabangsa.
Ahmad turut merujuk kepada penyertaan beliau yang akan datang di Perhimpunan Agung PBB di New York pada September, yang merupakan kali pertama oleh seorang Presiden Syria sejak 1967 dan menyifatkannya sebagai tanda integrasi semula negara itu secara beransur-ansur ke dalam diplomasi antarabangsa.
“Penyertaan ini sendiri adalah mesej jelas Syria tidak lagi terpinggir. Hubungan kami juga sudah terbuka dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan AS, Turkiye, Arab Saudi, UAE, Qatar dan negara-negara Eropah,” katanya.-AGENSI