BERLIN: Sebuah mahkamah di Jerman memutuskan Tapak Peringatan Kem Konsentrasi Buchenwald berhak menolak kemasukan individu yang memakai selendang keffiyeh Palestin dengan alasan perlindungan sensitiviti dan kesejahteraan pelawat, terutamanya masyarakat Yahudi.
Mahkamah pentadbiran tinggi di negeri Thuringia, timur Jerman, pada Rabu menolak permohonan seorang wanita yang ingin menghadiri acara peringatan di tapak bersejarah itu sambil mengenakan keffiyeh iaitu selendang tradisional Arab yang sering dikaitkan dengan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Wanita tersebut sebelum ini dihalang daripada menghadiri acara memperingati ulang tahun ke-80 pembebasan kem itu pada April lalu kerana memakai keffiyeh.
Dia kemudian memfailkan permohonan ke mahkamah untuk dibenarkan menghadiri satu lagi acara peringatan minggu ini dengan selendang tersebut, tetapi ditolak.
Mahkamah menyatakan bahawa pihak pengurusan memorial itu bertindak wajar dalam menolak kemasukan beliau, dengan merujuk kepada kenyataan wanita itu yang menyatakan niat untuk menghantar mesej politik terhadap apa yang dilihatnya sebagai sokongan berat sebelah pihak memorial terhadap dasar-dasar kerajaan Israel.
“Tidak dapat dinafikan bahawa tindakan ini akan menggugat rasa selamat ramai orang Yahudi, terutamanya di lokasi bersejarah ini,” kata mahkamah dalam penghakiman tersebut.
Walaupun mengakui hak kebebasan bersuara wanita itu, mahkamah menegaskan bahawa dalam kes ini kepentingan memorial untuk mengekalkan tujuan asal penubuhannya sebagai tempat memperingati mangsa Holocaust mengatasi hak peribadi tersebut.
Jerman yang masih bergelut dengan sejarah pembunuhan enam juta Yahudi semasa Holocaust, kekal sebagai antara sekutu terkuat Israel. Namun dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan pimpinan Canselor Friedrich Merz semakin kritikal terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
Awal bulan ini, Berlin mengumumkan lesen baharu untuk eksport senjata ke Israel yang boleh digunakan di Gaza tidak lagi akan dikeluarkan.
Tapak Peringatan Buchenwald sebelum ini menerima kritikan apabila sebuah dokumen dalaman terbongkar, menggambarkan keffiyeh sebagai simbol yang dikaitkan rapat dengan usaha untuk menghancurkan negara Israel.
Pengarah memorial itu, Jens-Christian Wagner kemudiannya mengakui dokumen berkenaan terdapat ‘kesilapan’ dan perlu diperbetulkan.
Dalam wawancara dengan penyiar NDR, beliau menjelaskan bahawa keffiyeh bukanlah simbol yang diharamkan secara mutlak di kawasan memorial.
“Namun, apabila ia digunakan bersama simbol lain untuk meremehkan jenayah Nazi, maka kami akan meminta individu berkenaan untuk menanggalkan simbol-simbol tersebut,” jelasnya. -AGENSI










