PBB tubuh badan penasihat antarabangsa tangani isu AI

PBB tubuh badan penasihat antarabangsa tangani isu AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan penubuhan sebuah badan penasihat kecerdasan buatan (AI) bagi membantu negara-negara anggota membuat keputusan berhubung teknologi revolusioner itu.

Keputusan itu dibuat susulan kebimbangan negara anggota terhadap perkembangan pesat teknologi yang dianggap berpotensi mengubah landskap kehidupan manusia, namun pada masa sama dikhuatiri mengancam demokrasi dan hak asasi manusia.

Menerusi resolusi yang diluluskan, PBB menubuhkan Panel Saintifik Antarabangsa Bebas mengenai AI yang akan dianggotai 40 pakar saintifik selama tempoh tiga tahun.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kini diberi tanggungjawab memilih individu yang layak menganggotai panel tersebut.

Panel berkenaan antara lain akan mengeluarkan penilaian saintifik berasaskan bukti dengan menganalisis penyelidikan sedia ada mengenai peluang, risiko dan impak teknologi AI.

Resolusi tersebut turut memperuntukkan penganjuran dialog global tahunan melibatkan kerajaan, pakar dan pihak berkepentingan lain untuk membincangkan kerjasama antarabangsa, berkongsi amalan terbaik serta pengalaman dalam bidang tadbir urus AI.

Sesi dialog pertama dijadual berlangsung di Geneva tahun depan sempena sidang kemuncak dunia mengenai AI.

“Pembangunan teknologi AI kini bergerak pada kadar dan skala yang memberi kesan kepada semua negara di seluruh dunia.

“Dengan resolusi ini, PBB mengukuhkan peranan utamanya dalam memastikan teknologi AI dimanfaatkan untuk kesejahteraan manusia,” kata Duta Costa Rica ke PBB, Maritza Chan Valverde.

Valverde menyelia perbincangan sehingga membawa kepada resolusi baharu itu bersama rakan sejawatnya dari Sepanyol.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN