WASHINGTON: Pasukan Pengawal Kebangsaan mula membawa senjata di Washington susulan arahan Presiden Donald Trump yang mengerahkan lebih 2,200 anggota sebagai tindakan keras terhadap jenayah, menurut kenyataan pihak tentera.
“Bermula lewat malam 24 Ogos 2025, anggota Pasukan Petugas Bersama-DC (JTF-DC) mula membawa senjata yang dikeluarkan kepada mereka,” menurut kenyataan rasmi daripada pasukan tersebut, yang bertanggungjawab ke atas penugasan anggota Pengawal Kebangsaan.
Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan menggunakan kekerasan sebagai pilihan terakhir dan hanya jika terdapat ancaman segera terhadap nyawa atau kecederaan serius, menurut kenyataan itu lagi.
Seorang pegawai pertahanan AS sebelum ini memaklumkan anggota yang dikerahkan di Washington akan “segera” membawa senjata, yang sebelum ini hanya disimpan di gudang simpanan dan digunakan jika perlu.
Anggota Pengawal Kebangsaan ini datang dari pelbagai negeri, termasuk Washington DC yang cenderung Demokratik, serta negeri-negeri yang diketuai Republikan seperti West Virginia, South Carolina, Ohio, Mississippi, Louisiana dan Tennessee.
Pemimpin Republikan, diketuai Trump, mendakwa ibu negara AS dibelenggu jenayah, gelandangan dan pengurusan kewangan yang lemah.
Namun begitu, data rasmi daripada polis Washington menunjukkan penurunan ketara dalam jenayah ganas antara 2023 dan 2024, meskipun ia berlaku selepas lonjakan semasa pandemik.
Trump tetap menuduh Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser, menyampaikan statistik jenayah yang “palsu dan sangat tidak tepat,” dan mengancam akan mengambil alih pentadbiran bandar secara penuh sekiranya beliau tidak menghentikannya.
Selain penugasan Pengawal Kebangsaan, kehadiran agensi penguatkuasaan persekutuan seperti Imigresen dan Kastam (ICE) turut meningkat di jalanan Washington, sekali gus mencetuskan protes daripada penduduk tempatan. – AFP









