GAZA: Selepas tiga bulan melancarkan serangan berskala besar terhadap Gaza, tentera Israel bakal menamatkan operasi Gideon’s Chariots tanpa mencapai matlamat utama iaitu membebaskan tebusan dan menghancurkan Hamas.
Operasi yang dimulakan pada Mei lalu dengan janji untuk ‘menawan Gaza sepenuhnya’ kini berakhir dengan tentera mula berundur, termasuk penarikan balik Divisyen Ke-98 dan dua briged simpanan dari kawasan pertempuran.
Walaupun Hamas dilaporkan lumpuh di beberapa kawasan utara, kumpulan tersebut masih menunjukkan kekuatan di selatan Gaza, terutamanya di Khan Younis.
Video terkini memaparkan sekurang-kurangnya 12 pejuang Hamas masih mampu melancarkan serangan hendap ke atas pasukan Israel.
Sementara itu, lebih sejuta penduduk Palestin kekal berada di utara dan tengah Gaza, walaupun terdapat rancangan awal untuk memindahkan mereka ke selatan wilayah berkenaan.
Satu daripada matlamat utama operasi ini ialah membebaskan 50 tebusan yang ditahan Hamas sejak Oktober 2023, namun hingga kini masih belum tercapai dengan hanya sebahagian yang sudah dibebaskan.
Rundingan gencatan senjata yang turut melibatkan AS kini terhenti sepenuhnya selepas wakil-wakil dari Israel dan Washington menarik diri dari Qatar bulan lalu.
Percubaan Israel dan AS untuk menyalurkan bantuan melalui Gaza Humanitarian Foundation (GHF) juga gagal.
Kaedah baharu ini yang kononnya bertujuan mengekang Hamas daripada merampas bantuan, sebaliknya mencetuskan kekacauan, kelaparan dan insiden tembakan maut di kawasan pengagihan.
Israel kini terpaksa membuka semula laluan bantuan melalui PBB dan turut membenarkan penghantaran udara, satu perubahan besar dasar selepas tekanan antarabangsa yang semakin hebat.
Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir memberi amaran kepada Kabinet yang operasi sudah mencapai had strategik ditetapkan dan menyeru kerajaan membuat keputusan segera, sama ada untuk menawan keseluruhan Gaza, mengepung kawasan Hamas atau melancarkan perang berpanjangan secara taktikal.










