CALI: Lima orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila sebuah bom kenderaan meletup berhampiran sebuah pangkalan tentera di jalan sibuk di bandar Cali, Colombia pada Khamis, menurut pihak berkuasa tempatan.
Polis memaklumkan bom itu menyasarkan Sekolah Penerbangan Tentera Marco Fidel Suarez.
“Terdengar bunyi letupan kuat berhampiran pangkalan udara dengan ramai yang cedera. Rumah yang terletak di depan pangkalan juga rosak teruk,” kata saksi berusia 65 tahun, Hector Fabio Bolanos kepada AFP.
Beberapa bangunan dan sebuah sekolah terpaksa dikosongkan.
Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder berkata laporan awal menunjukkan sekurang-kurangnya lima orang maut dan 36 orang cedera.
Beliau turut mengumumkan larangan kemasukan lori berat ke dalam bandar bagi mengelakkan letupan susulan.
Saksi mata, Alexis Atizabal, 40, menyatakan borang awam mungkin termasuk dalam senarai mangsa korban.
“Ada kematian dalam kalangan orang yang kebetulan melalui jalan tersebut,” katanya.
Pihak bertanggungjawab terhadap serangan itu masih belum dikenal pasti, namun Gabenor wilayah, Dilian Francisca Toro menyifatkannya sebagai “serangan pengganas.”
Pada Jun lalu, kumpulan gerila berhaluan kiri mengaku bertanggungjawab atas siri serangan bom dan tembakan di dalam dan sekitar Cali yang mengorbankan tujuh nyawa.
Kumpulan tersebut, dikenali sebagai Central General Staff (EMC), telah menolak perjanjian damai tahun 2016 dan meningkatkan operasi mereka menjelang pilihan raya 2026.









