LOS ANGELES: Seorang lelaki yang dipercayai melarikan diri daripada serbuan imigresen Amerika Syarikat (AS) maut pada Khamis selepas dilanggar sebuah kereta di lebuh raya, menurut pihak polis.
Pihak berkuasa bandar di Monrovia, berhampiran Los Angeles, berkata polis dipanggil selepas menerima laporan mengenai kehadiran ejen Imigresen dan Kastam (ICE) di sebuah cawangan Home Depot.
Semasa serbuan itu, seorang lelaki melarikan diri dari kawasan parkir kedai perkakasan tersebut, lokasi yang sering menjadi tempat berhimpun pekerja sambilan yang mencari kerja dan berlari ke lebuh raya yang sibuk ketika waktu puncak, menurut Pengurus Bandar Monrovia, Dylan Feik kepada media.
Jurucakap California Highway Patrol (CHP) memaklumkan lelaki berusia 40 tahun itu dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian akibat kecederaan.
CHP mahupun pihak berkuasa bandar masih belum dapat memberikan butiran lanjut mengenai identiti lelaki tersebut.
Pihak ICE juga tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan maklumat oleh AFP.
Ejen ICE dan Rondaan Sempadan AS yang memakai topeng dan bersenjata mula melancarkan serbuan di dalam dan sekitar Los Angeles awal tahun ini, ketika Presiden Donald Trump berusaha menunaikan janji pilihan rayanya untuk melaksanakan jumlah pengusiran terbesar dalam sejarah AS.
Serbuan tersebut menyasarkan kedai perkakasan, pusat cuci kereta dan perniagaan lain yang menjadi tempat golongan pendatang tanpa dokumen mencari pekerjaan, dan telah mencetuskan kemarahan di bandar pelbagai budaya itu.
Protes yang tercetus di Los Angeles, termasuk beberapa insiden keganasan terpencil, disambut dengan kehadiran besar tentera persekutuan, walaupun pihak penguatkuasa tempatan menyatakan mereka mampu mengawal keadaan.
Pada Julai lalu, sebuah mahkamah persekutuan mengarahkan supaya rondaan bergerak ICE dihentikan di beberapa daerah di California selepas kumpulan hak asasi mendakwa serbuan tersebut lebih banyak menyasarkan individu berdasarkan kaum, bahasa yang dituturkan atau lokasi perhimpunan mereka.









