Lanun, perompak meningkat empat kali ganda di Selat Melaka dan Singapura

Lanun, perompak meningkat empat kali ganda di Selat Melaka dan Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kes lanun dan rompakan bersenjata di Selat Melaka dan Singapura melonjak hampir empat kali ganda tahun ini, menurut laporan terbaharu daripada kumpulan pemantau anti-lanun.

Menurut ReCAAP Information Sharing Centre (ISC), dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 80 insiden dilaporkan berbanding hanya 21 insiden pada tempoh sama tahun lalu.

Selat Melaka, laluan sempit tetapi strategik yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan melalui Pasifik, merupakan koridor maritim penting dunia yang menyaksikan sekitar 90,000 kapal dagang dan 60 peratus perdagangan maritim global melaluinya setiap tahun.

Pengarah Eksekutif ReCAAP ISC, Vijay Chafekar berkata, sebahagian besar insiden berlaku di Phillip Channel di Selat Singapura, lokasi di mana kapal perlu memperlahankan kelajuan untuk mengemudi laluan sempit itu.

Kebanyakan kes adalah bersifat oportunis dan tidak melibatkan konfrontasi, dengan anak kapal tidak diapa-apakan.

Tiada insiden tahun 2025 dikategorikan sebagai Kategori 1 iaitu paling serius melibatkan senjata api atau penawanan tebusan dan 90 peratus kes tidak mengakibatkan kecederaan, menurut data ReCAAP.

Tujuh konfrontasi dilaporkan melibatkan pisau atau senjata tiruan, dengan hanya seorang anak kapal cedera ringan.

Kapal pukal menjadi sasaran utama sebanyak 52 peratus, diikuti kapal tangki sekitar 24 peratus dan kapal kontena (11 peratus).

Penganalisis berbeza pandangan mengenai punca lonjakan kes, ada mengaitkannya dengan peningkatan trafik maritim ekoran kapal dagang mengelak laluan Laut Merah yang semakin terganggu akibat serangan pemberontak Houthi Yemen terhadap kapal komersial.

Menurut Anggota Persatuan Pemilik Kapal Asia (ASA), Daniel Ng, kebanyakan pelaku merupakan sebahagian daripada kumpulan jenayah terancang kecil yang beroperasi dari pulau terpencil Indonesia seperti Kepulauan Riau dan Cula.

“Mereka menggunakan sampan untuk mendekati kapal, selalunya pada waktu malam, sebelum memanjat naik menggunakan galah panjang dengan cangkuk dan tali,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kes mungkin berpunca daripada kecekapan penjenayah memanfaatkan kelemahan keselamatan kapal dengan menggunakan data mudah alih Sistem Pengenalan Automatik (AIS).

“Mereka kebiasaannya berdepan kesempitan hidup akibat pengangguran dan kemiskinan. Mereka perlu menambah pendapatan dan kelihatan semakin mahir menembusi langkah-langkah keselamatan,” katanya lagi.

Jurucakap Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menyifatkan peningkatan ini amat membimbangkan dan menggesa semua kapal mematuhi amalan pengurusan terbaik serta segera melaporkan insiden kepada pihak berkuasa berkaitan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN