MIAMI: Seorang hakim persekutuan di Miami, Florida mengarahkan penutupan pusat tahanan kontroversi yang dikenali sebagai Alligator Alcatraz dalam tempoh 60 hari, selepas mendapati kemudahan itu memberi kesan buruk terhadap ekosistem Everglades yang dilindungi undang-undang negeri dan persekutuan.
Dalam keputusan setebal 82 muka surat, Hakim Daerah Kathleen Williams menegaskan perintahnya adalah selaras dengan usaha berdekad lamanya untuk memulihara kawasan paya berkenaan.
“Sejak sekian lama, setiap gabenor Florida, setiap senator, malah ramai tokoh politik peringkat tempatan dan nasional, termasuk presiden, telah menyatakan komitmen mereka untuk memulihara dan melindungi Everglades.
“Perintah ini hanya menegakkan semangat undang-undang yang diwujudkan untuk memenuhi janji tersebut,” katanya.
Perintah itu mengesahkan penggantungan sementara yang dikeluarkan Williams pada 7 Ogos lalu susulan saman yang difailkan kumpulan pencinta alam dan Suku Kaum Miccosukee.
Mereka mendakwa kemudahan tersebut menjejaskan kualiti udara dan air, mengancam spesies dilindungi seperti panther Florida dan kelawar bonneted, selain menjejaskan usaha pemulihan ekosistem di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, kerajaan negeri Florida telah memfailkan rayuan sejurus selepas keputusan itu dikeluarkan, menandakan pertempuran undang-undang ini belum berakhir.
Alligator Alcatraz mula beroperasi pada 2 Julai lalu selepas siap dibina hanya dalam tempoh lapan hari.
Pusat tahanan yang terletak di kawasan Pemuliharaan negara Big Cypress itu digelar demikian oleh ahli politik Republikan kerana dikelilingi habitat semula jadi yang dipenuhi buaya dan ular sawa, menyerupai lokasi penjara terkenal Alcatraz di San Francisco.
Kemudahan tersebut boleh menempatkan sehingga 3,000 orang, dan sejak dibuka, kira-kira 1,400 individu ditempatkan di situ namun, keadaan di pusat berkenaan menerima kecaman hebat susulan laporan mengenai layanan tidak berperikemanusiaan, kekurangan akses kepada proses undang-undang, serta pelanggaran hak asasi tahanan.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini mendakwa pusat itu menempatkan individu paling berbahaya di dunia, tetapi laporan Miami Herald mendedahkan daripada 700 tahanan, seramai 250 orang tidak mempunyai rekod jenayah, sebaliknya hanya ditahan kerana kesalahan imigresen. -AGENSI










