TEL AVIV: Seramai 19 bekas pegawai tertinggi keselamatan Israel termasuk ketua staf tentera, ketua perisikan, bekas perdana menteri dan pesuruhjaya polis telah bersatu dalam satu mesej video luar biasa pada Ahad, menyeru agar perang di Gaza dihentikan serta-merta.
Mereka mendakwa Israel kini mengalami lebih banyak kerugian berbanding kemenangan malah perang tersebut diteruskan bukan atas keperluan ketenteraan tetapi demi kepentingan politik dalaman.
Antara tokoh yang tampil dalam video itu ialah bekas Perdana Menteri dan Ketua Staf Tentera Pertahanan Israel (IDF) Ehud Barak, bekas Ketua Staf IDF Moshe Ya’alon dan Dan Halutz, serta bekas ketua Shin Bet, Mossad dan polis seperti Nadav Argaman, Tamir Pardo, Efraim Halevy dan Dudi Cohen.
Ramai antara mereka sebelum ini telah menyuarakan kritikan terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan cara beliau mengendalikan perang tersebut.
“Setiap daripada mereka pernah duduk dalam mesyuarat kabinet, berada dalam bulatan dalam kerajaan dan terlibat dalam proses membuat keputusan paling sensitif negara,” kata narator video itu, yang turut menyatakan bahawa kumpulan ini secara keseluruhan memiliki lebih 1,000 tahun pengalaman dalam keselamatan dan diplomasi negara.
Dalam video dengan sari kata bahasa Inggeris itu, mereka menyatakan bahawa perang di Gaza sepatutnya sudah lama ditamatkan dan menyeru kepada gencatan senjata kekal serta perjanjian komprehensif bagi membebaskan kesemua 50 tebusan yang masih ditahan.
Bekas pengarah Shin Bet, Ami Ayalon berkata, perang tersebut bermula sebagai perang yang adil iaitu perang mempertahankan diri.
“Tapi selepas semua objektif ketenteraan dicapai, selepas kita memperoleh kemenangan ketenteraan yang cemerlang, perang ini tidak lagi adil. Ia kini menghancurkan keselamatan dan identiti Negara Israel,” katanya.
Bekas ketua risikan tentera, Amos Malka menambah bahawa Israel telah terlepas peluang lebih setahun lalu untuk menamatkan perang dengan pencapaian operasi yang mencukupi.
Sementara itu, Nadav Argaman menyatakan pada tahap ini Israel hanya mengimbangi kerugian.
“Kita kini berada di ambang kekalahan,” tegas bekas pengarah Mossad Tamir Pardo, memberikan amaran yang lebih keras. -AGENSI










