Hakim 'paling penyayang' meninggal dunia pada usia 88 tahun

Hakim ‘paling penyayang’ meninggal dunia pada usia 88 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Hakim selebriti Amerika Syarikat (AS) dan bintang media sosial, Frank Caprio meninggal dunia pada usia 88 tahun, menurut laporan diumumkan keluarganya.

Beliau disahkan menghidap kanser pankreas dan berita duka itu disampaikan menerusi akaun Instagram rasminya, di mana beliau dikenang kerana keprihatiannya terhadap kesusahan masyarakat.

Anaknya, David Caprio mengucapkan terima kasih kepada para peminat atas sokongan dan kasih sayang yang diberikan serta menggesa orang ramai untuk menyebarkan kebaikan bagi mengenang jasa bapanya.

Dikenali ramai kerana sifat belas kasihan dan jenakanya di mahkamah, rakaman video Hakim Caprio  mengendalikan kes dalam rancangan popularnya, Caught in Providence ditonton berbilion kali di media sosial, menjadikannya digelar hakim paling penyayang di dunia.

“Jenaka dan kebaikannya meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang mengenalinya,” kata kenyataan di Instagram kepada 3.4 juta pengikutnya.

Hakim Caprio mengendalikan ribuan kes di kampung halamannya di Providence, Rhode Island sebelum memulakan kerjaya televisyen.

Syarikat di sebalik rancangan Caught in Providence, Debmar-Mercury turut memberi penghormatan kepada pendekatan penuh belas kasihan dan berasaskan akal budi yang menjadi tanda dagangannya.

“Kami akan sangat merinduinya,” kata Presiden Bersama syarikat itu, Mort Marcus dan Ira Bernstein dalam satu kenyataan.

Sepanjang siarannya, rancangan itu pernah dicalonkan untuk tiga Anugerah Daytime Emmy dengan Hakim Caprio menerima dua pencalonan peribadi pada tahun lalu.

Gaya uniknya di mahkamah menghasilkan banyak klip tular, daripada menjemput kanak-kanak duduk bersamanya di bangku hakim ketika prosiding, sehinggalah mengumumkan pelancaran patung kecil dirinya sebagai ‘mini-judge’.

Sebuah video TikTok yang memaparkan rutin paginya memberus gigi, menandatangani bukunya dan menonton rakaman rancangan sendiri meraih lebih lima juta tontonan.

Dalam satu temu bual pada 2019, Hakim Caprio berkata, prosiding mahkamahnya memaparkan secebis kehidupan di Rhode Island yang sangat menarik dan mencerminkan isu-isu yang dihadapi rakyat di seluruh negara.

Selepas disahkan menghidap kanser pankreas pada 2023, beliau mengumumkan benar-benar bersedia untuk berjuang sehabis mungkin dan mengucapkan terima kasih kepada pengikutnya atas sokongan yang diberikan.

Hakim Caprio meninggalkan isterinya, Joyce Caprio, yang telah bersama hampir 60 tahun serta lima orang anak, tujuh cucu dan dua cicit.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN