MADRID: Gelombang haba yang mencecah lebih 40 darjah Celsius memburukkan kebakaran hutan di selatan negara Eropah termasuk Sepanyol, Portugal, Greece, Turkiye dan Balkan, memaksa ribuan penduduk dipindahkan.
Pakar iklim berkata, pemanasan global menjadikan musim panas di Mediterranean makin membahang dan kering setiap tahun, menyebabkan kebakaran hutan meningkat dengan ada yang membentuk pusaran api.
Di pinggir Madrid, Sepanyol, seorang lelaki maut ketika bekerja di kandang kuda selepas kebakaran merebak ke rumah dan ladang berdekatan sebelum berjaya dikawal pada Selasa, menurut pihak berkuasa wilayah.
Di Albania, seorang lelaki maut akibat kebakaran, manakala di wilayah Catalonia, Sepanyol, seorang pekerja bermusim Hungary berusia 61 tahun dipercayai meninggal dunia akibat strok haba ketika memetik buah.
Sementara itu, di Tarifa, selatan Sepanyol, penduduk termasuk Cef selebriti, Jose Andres merakam api dan asap hitam yang membakar bukit berhampiran kediaman mewah di kawasan berkenaan.
Lebih 2,000 penduduk dipindahkan apabila kebakaran dipercayai bermula di hutan kayu putih dan pain merebak dengan cepat manakala helikopter dikerah mengambil air laut untuk memadamkan api.
Pihak berkuasa di Albania, Montenegro, Jerman, Sepanyol, Itali dan Perancis mengeluarkan pelbagai tahap amaran gelombang haba.
Di Montenegro, kebakaran berhampiran Podgorica berjaya dikawal dengan bantuan helikopter dari Serbia dan Croatia, namun ibu negara itu diselubungi asap tebal.
Kebakaran yang bertambah buruk akibat angin kencang memaksa pemindahan beberapa kampung, sebuah hotel di pulau pelancongan Zakynthos dan Cephalonia, Greece serta empat kawasan di tanah besar negara itu.
Di Turkiye, kebakaran besar di wilayah barat laut Canakkale berterusan untuk hari kedua, memaksa ratusan penduduk dipindahkan.
Bantuan tambahan dijangka tiba dari Austria, Slovenia dan Itali melalui mekanisme perlindungan awam Kesatuan Eropah (EU). -AGENSI









