BAITULMUQADDIS: Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich menggesa kerajaan supaya memulakan proses menggabungkan sebahagian wilayah Gaza sekiranya kumpulan pejuang Palestin, Hamas terus enggan meletakkan senjata.
Tokoh sayap kanan yang lantang menolak sebarang perjanjian dengan Hamas untuk menamatkan perang hampir dua tahun itu membentangkan pelan beliau dalam satu sidang media di Baitulmuqaddis dengan matlamat untuk menakluk Gaza menjelang hujung tahun ini.
Menurut cadangan Smotrich, Hamas akan diberikan kata dua untuk menyerah diri, melucutkan senjata serta membebaskan tebusan yang masih ditahan sejak serangan kumpulan itu pada Oktober 2023 yang mencetuskan konflik berpanjangan.
Sekiranya Hamas enggan, Smotrich mencadangkan Israel melenyapkan sebahagian wilayah Gaza setiap minggu selama empat minggu sehingga majoriti kawasan itu diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan Israel.
Beliau menjelaskan, penduduk Palestin akan diarahkan berpindah ke bahagian selatan Gaza, diikuti dengan sekatan ketat di kawasan utara dan tengah bagi menumpaskan baki pejuang Hamas, sebelum ‘melenyapkan’ Gaza.
Kenyataan itu dibuat ketika tentera Israel memperhebatkan serangan besar-besaran untuk menguasai bandar Gaza meskipun kebimbangan semakin meningkat terhadap nasib orang awam Palestin. Majoriti daripada lebih dua juta penduduk Gaza kini telah menjadi pelarian sekurang-kurangnya sekali sejak perang bermula.
Smotrich turut mendesak Perdana Menteri Benjamin Netanyahu segera menerima pakai pelan ini sepenuhnya.
Kumpulan Hamas mengecam cadangan tersebut dengan menyifatkannya sebagai sokongan terbuka terhadap dasar pemindahan paksa dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.
Smotrich merupakan antara beberapa anggota sayap kanan dalam gabungan pemerintah Israel yang menyuarakan sokongan untuk mengembalikan penempatan haram Yahudi di Gaza, selepas Israel menarik keluar tentera dan penduduknya dari wilayah itu pada 2005.
Sebagai penyokong tegar gerakan penempatan Yahudi, Smotrich sendiri tinggal di sebuah penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki. Minggu lalu, beliau meluluskan sebuah projek besar di kawasan timur Baitulmuqaddis dikenali sebagai E1, yang menurut pengkritik boleh menggagalkan kewujudan negara Palestin pada masa depan.
Smotrich sebelum ini menegaskan rojek penempatan E1 itu bertujuan menguburkan idea negara Palestin oleh komuniti antarabangsa. – AGENSI










