WASHINGTON: Gabenor Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Lisa Cook pada Rabu menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada tekanan atau ugutan supaya meletakkan jawatan susulan gesaan Presiden Donald Trump agar beliau berundur daripada jawatannya di bank pusat itu.
Kenyataan tegas Cook itu disampaikan melalui seorang wartawan Fox Business di platform X sehari selepas Trump meningkatkan tekanan terhadap Rizab Persekutuan dengan menyasarkan Cook, selain kritikan berterusan terhadap Pengerusi Fed, Jerome Powell kerana tidak menurunkan kadar faedah lebih awal.
“Cook mesti letak jawatan, sekarang juga!!!” tulis Trump di platform Truth Social miliknya, sambil berkongsi laporan Bloomberg yang menyebut pengarah Agensi Kewangan Perumahan Persekutuan (FHFA), Bill Pulte menggesa siasatan terhadap Cook berhubung dua pinjaman perumahan.
Pulte, sekutu rapat Trump dilaporkan telah menghantar surat kepada Peguam Negara AS untuk memohon siasatan terhadap Cook, dengan dakwaan bahawa beliau mungkin telah melakukan kesalahan jenayah.
Bagaimanapun, setakat ini belum jelas sama ada siasatan rasmi akan dijalankan.
Pentadbiran Trump sebelum ini diketahui giat menyiasat dakwaan penipuan pinjaman perumahan yang melibatkan tokoh-tokoh Demokrat berprofil tinggi, yang dilihat sebagai pencabar politik kepada presiden itu.
Tindakan Trump menyasarkan Cook yang juga merupakan ahli jawatankuasa penetapan kadar faedah bank pusat muncul selepas kritikan bertubi-tubi terhadap Powell apabila Fed mengekalkan kadar faedah utama sepanjang tahun ini.
Cook mula menyandang jawatan sebagai gabenor Fed pada Mei 2022 dan dilantik semula ke lembaga itu pada September 2023.
Beliau mengangkat sumpah bagi penggal yang akan berakhir pada tahun 2038.











