Empat wartawan antara 15 terbunuh serangan di hospital Gaza

Empat wartawan antara 15 terbunuh serangan di hospital Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan empat wartawan termasuk sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh selepas serangan udara Israel membedil Hospital Nasser di Khan Younis.

Ketika ditanya AFP mengenai serangan yang menyasarkan sebuah bangunan di kompleks perubatan tersebut, tentera Israel berkata, pihaknya sedang menyemak laporan berkenaan.

Kesatuan Wartawan Palestin mengesahkan sekumpulan wartawan ‘syahid’ ketika menjalankan tugas akibat pengeboman Israel yang menyasarkan mereka di Hospital Nasser.

Dalam satu kenyataan, kesatuan itu menamakan wartawan terbabit sebagai jurufoto, Hossam Al-Masri, Mohammad Salama, Mariam Dagga, dan wartawan, Moaz Abu Taha.

Jurucakap rangkaian TV berpangkalan di Qatar, Al Jazeera mengesahkan jurufoto dan jurukameranya, Mohammad Salama, terbunuh dalam serangan di kompleks perubatan tersebut.

Tiga lagi wartawan lain bekerja dengan beberapa media Palestin dan antarabangsa, menurut wartawan AFP.

Agensi berita Associated Press berkata, Mariam Dagga ialah seorang wartawan bebas yang pernah berkhidmat untuk agensi itu tetapi tidak bertugas dengan mereka ketika beliau terbunuh.

Reuters pula memaklumkan, seorang wartawan yang terbunuh dan seorang lagi yang cedera adalah kontraktor untuk agensi berita tersebut.

Pertahanan awam berkata, sebuah dron peledak Israel menyasarkan bangunan di Hospital Nasser, disusuli serangan udara ketika mangsa yang cedera sedang dipindahkan.

Sekatan media di Gaza dan kesukaran mengakses banyak kawasan menyebabkan media tidak dapat mengesahkan secara bebas angka korban dan butiran yang diberikan oleh agensi pertahanan awam atau tentera Israel.

Rakaman AFP dari saat-saat awal selepas serangan menunjukkan asap memenuhi udara dan serpihan letupan berselerak di lantai luar hospital.

Penduduk Palestin bergegas membantu mangsa, mengangkat mayat berdarah dan anggota badan yang terputus ke dalam kompleks perubatan itu.

Satu mayat kelihatan tergantung dari tingkat atas bangunan yang diserang sementara seorang lelaki menjerit di bawahnya.

Seorang wanita berpakaian seragam perubatan dan berjubah putih turut cedera, dibawa masuk ke hospital dengan kakinya berbalut tebal dan pakaiannya berlumuran darah.

Sebelum kejadian terbaharu ini, kumpulan advokasi media Committee to Protect Journalists (CPJ) dan Reporters Without Borders menyatakan sekitar 200 wartawan terbunuh dalam perang Gaza.

Awal bulan ini, empat kakitangan Al Jazeera dan dua wartawan bebas terbunuh dalam serangan udara Israel di luar Hospital Al-Shifa di Gaza City, yang mencetuskan kecaman meluas.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN