Bedilan tentera Zionis rekod kematian harian tertinggi di Gaza minggu ini - Utusan Malaysia

Bedilan tentera Zionis rekod kematian harian tertinggi di Gaza minggu ini

KEPULAN asap dirakam dari sempadan Israel dengan Gaza, selepas Israel melancarkan serangan ke atas sebuah bangunan di wilayah terkepung itu pada 17 Julai lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 123 penduduk Palestin terkorban dalam tempoh 24 jam terakhir akibat serangan udara dan tembakan kereta kebal oleh tentera Israel, sekali gus menjadi angka korban harian tertinggi dalam seminggu.

Serangan terbaharu ini berlaku ketika Israel meningkatkan operasi tenteranya dalam usaha mengambil alih sepenuhnya wilayah Gaza, yang telah dilanda konflik selama hampir dua tahun.

Konflik berpanjangan itu telah mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di wilayah padat yang dihuni lebih dua juta penduduk.

Penduduk Gaza melaporkan serangan hebat di kawasan Zeitoun dan Shejaia, ddengan Hospital Al-Ahli mengesahkan sekurang-kurangnya 12 kematian dalam satu serangan terhadap sebuah rumah di Zeitoun.

Di Khan Younis dan kawasan tengah Gaza, beberapa rumah turut musnah dalam serangan berasingan, manakala sembilan orang dilaporkan terbunuh ketika sedang beratur untuk mendapatkan bantuan makanan.

Kementerian Kesihatan Gaza juga melaporkan lapan lagi kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan dalam tempoh yang sama. Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat krisis makanan kepada 235 orang sejak perang bermula termasuk 106 kanak-kanak.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekali lagi mencadangkan agar penduduk Palestin meninggalkan Gaza.

Cadangan tersebut mencetuskan kecaman keras daripada negara-negara Arab dan pemimpin dunia yang menyifatkannya sebagai cubaan mengulangi tragedi Nakba 1948, di mana ratusan ribu rakyat Palestin diusir dari tanah air mereka.

Menurut pegawai tentera Israel, operasi untuk menawan semula Bandaraya Gaza dijangka berterusan selama beberapa minggu lagi.

Sementara itu, usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata masih menemui jalan buntu, dengan peluang untuk penyelesaian damai semakin tipis. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN