WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan kerajaan akan mengambil pegangan sebanyak 10 peratus dalam syarikat pengeluar cip terkemuka, Intel, menerusi perjanjian yang menukar geran kerajaan kepada ekuiti.
Tindakan itu menyaksikan satu lagi langkah campur tangan luar biasa Rumah Putih dalam dunia korporat AS.
Perjanjian ini memperbaiki hubungan Trump dengan Ketua Pegawai Eksekutif Intel, Lip-Bu Tan, selepas beliau sebelum ini menggesa Bu Tan seorang rakyat AS berketurunan Cina yang dilahirkan di Malaysia meletak jawatan berhubung dakwaan konflik kepentingan.
Melalui perjanjian itu, Intel akan menerima dana sekitar AS$10 bilion (RM42.27 bilion) bagi tujuan pembinaan atau pengembangan kilang di AS.
AS akan membeli pegangan 9.9 peratus dalam Intel pada harga AS$8.9 bilion (RM37.62 bilion), bersamaan dengan AS$20.47 (RM86.53 bilion) sesaham iaitu diskaun hampir AS$4 (RM16.90) berbanding harga penutupan saham Intel pada AS$24.80 (RM104.84) pada Jumaat.
Pembelian sebanyak 433.3 juta saham Intel itu dibiayai menggunakan AS$5.7 bilion (RM24.09 bilion) daripada geran belum dibayar di bawah Akta CHIPS era Biden, serta AS$3.2 bilion (RM13.52 bilion) yang diberikan kepada Intel untuk program Secure Enclave, juga diluluskan di bawah pentadbiran terdahulu Presiden Joe Biden.
Trump sudah bertemu Bu Tan susulan pertemuan pertama mereka pada 11 Ogos, selepas Trump menuntut Bu Tan meletak jawatan kerana didakwa mempunyai hubungan dengan firma dari China.
Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick dalam kenyataan di platform X berkata, Bu Tan sudah memeterai perjanjian yang adil untuk Intel dan adil untuk semua rakyat AS. – AGENSI










