STOCKHOLM: Aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg mengumumkan dia bersama sebuah kumpulan aktivis pro-Palestin akan memimpin pelayaran armada baharu yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dalam usaha memecahkan kepungan haram Israel terhadap wilayah itu.
Menurut Thunberg, misi yang dinamakan Global Sumud Flotilla itu dijadualkan bermula pada 31 Ogos ini dengan berpuluh-puluh bot belayar dari Sepanyol, sebelum disertai armada lain pada 4 September yang akan bergerak dari Tunisia dan beberapa pelabuhan lain.
“Kami akan melancarkan percubaan terbesar untuk memecahkan kepungan haram Israel terhadap Gaza, dengan penyertaan puluhan kapal dan aktivis dari 44 negara,” katanya menerusi hantaran di Instagram, lewat malam Ahad.
Sebelum ini, dua percubaan pada Jun dan Julai lalu untuk menghantar bantuan melalui laluan laut ke Gaza dihalang oleh Israel.
Dalam kejadian itu, tentera Israel bertindak menaiki kapal aktivis terbabit, menahan mereka, sebelum mengusir keluar dari wilayah berkenaan.
Misi kali ini turut disertai aktivis kemanusiaan, doktor serta artis terkenal antaranya pelakon Hollywood Susan Sarandon dari Amerika Syarikat (AS), Gustaf Skarsgard dari Sweden dan Liam Cunningham dari Ireland.
Bagaimanapun, jumlah kapal yang terlibat tidak dinyatakan.
Menurut laman sesawangnya, Global Sumud Flotilla adalah sebuah organisasi bebas yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kerajaan atau parti politik.
Serangan Israel yang berlarutan selama 22 bulan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 61,430 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Peperangan itu tercetus selepas Israel membalas serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mengorbankan 1,219 orang Yahudi, berdasarkan data rasmi yang dikumpul AFP.











