VALLEDUPAR: Sekurang-kurangnya 12 anggota polis Colombia terbunuh selepas sebuah helikopter ditembak jatuh ketika menjalankan operasi memusnahkan ladang daun kokain di wilayah Antioquia, Khamis lalu.
Dua lagi anggota edera dalam insiden tersebut.
Menurut pihak berkuasa tempatan, helikopter berkenaan dalam operasi pemusnahan tanaman haram di kawasan perbandaran Amalfi ketika diserang pihak tidak dikenali. Pada mulanya, Presiden Colombia Gustavo Petro melaporkan lapan kematian, namun jumlah korban meningkat kepada 12 selepas siasatan lanjut.
Tragedi itu berlaku pada hari yang sama dengan satu lagi serangan berdarah, apabila bom kereta meletup berhampiran pangkalan udara tentera di bandar Cali, menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terkorban dan 71 yang lain cedera.
Kedua-dua serangan yang meragut 18 nyawa dan mencederakan lebih 70 orang dipercayai dilakukan oleh puak penentang perjanjian damai 2016, terdiri daripada bekas anggota kumpulan pemberontak Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) yang enggan meletakkan senjata.
Presiden Petro dalam kenyataan menggesa kumpulan bersenjata tersebut, termasuk kartel dadah dan penentang perjanjian damai, diisytiharkan sebagai organisasi pengganas agar mereka boleh didakwa di peringkat antarabangsa.
“Keganasan ini bukan sahaja mencabar keselamatan negara, tetapi juga mencemarkan usaha perdamaian yang telah dibina sejak 2016,” kata Petro, sambil menegaskan tindakan keras akan diambil terhadap mana-mana kumpulan yang mengancam keamanan nasional.
Colombia masih bergelut dengan kesan konflik bersenjata yang berlarutan selama beberapa dekad, walaupun perjanjian damai bersejarah dimeterai pada 2016 antara kerajaan dan FARC. Namun, segelintir bekas anggota memilih untuk meneruskan perjuangan bersenjata melalui puak-puak serpihan.









