LONDON: United Kingdom (UK) dijangka kehilangan seramai 16,500 jutawan pada tahun ini, menjadikannya negara dengan aliran keluar individu berpendapatan tinggi (HNWI) terbesar di dunia, menurut Henley Private Wealth Migration Report 2025 oleh firma perunding migrasi pelaburan, Henley & Partners.
Laporan yang dikeluarkan pada Khamis itu meramalkan bahawa seramai 142,000 individu berpendapatan tinggi akan berpindah ke negara lain sepanjang 2025.
UK dijangka mencatat aliran keluar bersih tertinggi, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) kekal sebagai destinasi utama penghijrahan kekayaan dengan jangkaan menerima lebih 9,800 jutawan baharu.
Buat pertama kalinya, negara-negara utama Kesatuan Eropah seperti Perancis, Sepanyol dan Jerman juga dijangka mencatatkan kerugian bersih HNWI masing-masing sebanyak 800, 500 dan 400 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners, Juerg Steffen berkata data tersebut mencerminkan bukan sahaja perubahan dalam rejim cukai tetapi juga dinamik peluang global yang semakin berkembang.
“Implikasi jangka panjang terhadap daya saing ekonomi dan daya tarikan pelaburan di Eropah dan UK adalah amat ketara,” katanya.
Walaupun sistem cukai sering disebut sebagai faktor utama penghijrahan jutawan, pakar ekonomi dari Liverpool John Moores University, Steve Nolan menegaskan bahawa faktor lain turut menyumbang, termasuk pengurangan kelonggaran cukai, terutamanya dalam cukai pusaka.
“Golongan kaya lebih berkemampuan untuk bergerak. Jika cukai meningkat melepasi tahap tertentu, mereka terdorong untuk berhijrah,” ujarnya.
Nolan turut menambah bahawa pusat kewangan baharu, terutamanya di Asia dan Asia Barat kini menawarkan persekitaran cukai dan pelaburan yang lebih menarik.
Sementara itu, pakar migrasi Jacopo Zamboni mengaitkan aliran keluar jutawan dari Jerman kepada pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan sistem cukai yang rumit.
Beliau turut menekankan faktor peribadi seperti akses kepada pendidikan berkualiti dan keselamatan hidup sebagai pendorong utama.
Walaupun UK dijangka mengalami aliran keluar jutawan yang tinggi, London masih kekal sebagai destinasi utama bagi pendatang kaya. Profesor Rowland Atkinson dari University of Sheffield menasihati agar tidak membesar-besarkan naratif ‘eksodus kekayaan’ sebaliknya menyarankan agar fenomena ini dilihat sebagai satu petunjuk, bukan krisis. -AGENSI










