WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih dalam pertemuan yang turut menyentuh isu rundingan gencatan senjata Gaza, hubungan serantau serta isu Iran.
Trump memaklumkan AS sudah menjadualkan rundingan bersama Iran dan menyaksikan kerjasama yang baik antara Israel dengan negara-negara jiran dalam usaha membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Pertemuan Trump-Netanyahu berlangsung serentak dengan rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas mengenai cadangan gencatan senjata serta pembebasan tebusan yang dirangka AS.
Ini merupakan pertemuan ketiga secara bersemuka antara kedua-dua pemimpin tersebut sejak Presiden AS itu kembali ke Rumah Putih pada Januari, serta hanya dua minggu selepas Trump mengarahkan serangan ke atas tapak nuklear Iran bagi menyokong serangan udara Israel.
Sementara itu, Trump turut mengesahkan pentadbirannya akan mengadakan pertemuan dengan Iran dalam masa terdekat.
“Kami telah jadualkan pertemuan dengan Iran. Mereka mahu berbincang. Mereka telah menerima tamparan hebat,” katanya sambil menambah beliau berhasrat untuk menarik balik sekatan ke atas Iran pada masa yang sesuai.
Antara cadangan AS termasuk fasa pembebasan tebusan, pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan Gaza dan rundingan penamatan perang secara menyeluruh.
Hamas menegaskan mereka hanya akan membebaskan baki tebusan jika Israel bersetuju menghentikan perang sepenuhnya, manakala Israel pula berkeras semua tebusan mesti dibebaskan dan Hamas dilumpuhkan sebelum sebarang gencatan senjata boleh dimuktamadkan.
Sementara itu, serangan Israel ke atas Gaza semakin sengit, dengan lebih 57,000 nyawa rakyat Palestin terkorban menurut Kementerian Kesihatan di wilayah itu.
Kebanyakan penduduk Gaza telah dipaksa berpindah, dan hampir setengah juta lagi berada di ambang kebuluran, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). -AGENSI










