Tiga lokasi kekejaman Khmer Rouge diiktiraf UNESCO

Tiga lokasi kekejaman Khmer Rouge diiktiraf UNESCO

PELANCONG melihat potret mangsa-mangsa kekejaman rejim Khmer Rouge di Phnom Penh, Kemboja. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Tiga lokasi terkenal yang menjadi tempat penyeksaan dan pembunuhan semasa pemerintahan kejam rejim Khmer Rouge di Kemboja diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dua penjara dan satu lokasi pembunuhan beramai-ramai itu diumumkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO dalam sesi ke-47 yang berlangsung di Paris semalam.

Pengiktirafan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-50 kemunculan kuasa komunis Khmer Rouge yang menyebabkan kematian kira-kira 1.7 juta rakyat Kemboja melalui kebuluran, seksaan dan pembunuhan beramai-ramai antara tahun 1975 hingga 1979 sebelum ditumbangkan oleh pencerobohan dari Vietnam.

Senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO menghimpunkan lokasi yang dianggap penting kepada kemanusiaan, antaranya Tembok Besar China, Piramid Giza di Mesir, Taj Mahal di India dan kompleks arkeologi Angkor di Kemboja.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen kerajaan TVK pada Jumaat menyeru seluruh rakyat negara itu membunyikan gendang secara serentak pada pagi Ahad sebagai tanda memperingati pengiktirafan tersebut.

“Semoga peristiwa ini menjadi peringatan abadi bahawa keamanan mesti sentiasa dipertahankan,” katanya dalam perutusan video.

Dua lokasi yang diiktiraf itu terletak di ibu negara Phnom Penh iaitu Muzium Genosid Tuol Sleng dan Pusat Genosid Choeung Ek.

Tuol Sleng merupakan bekas sekolah yang dijadikan penjara terkenal dengan nama S-21 kerana di situ, kira-kira 15,000 orang dipenjarakan dan diseksa secara kejam manakala Choeung Ek pula merupakan bekas tanah perkuburan masyarakat Cina yang kemudian menjadi padang pembunuhan’ menyaksikan banduan S-21 dihantar untuk dibunuh pada waktu malam.

Satu lagi lokasi yang diiktiraf ialah penjara M-13 di wilayah Kampong Chhnang yang terletak di kawasan pedalaman kerana di sini anggota Khmer Rouge dikatakan mencipta dan menguji pelbagai kaedah penyeksaan serta pembunuhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×