Tiga dekad berlalu, luka rakyat Bosnia masih belum tertutup

Tiga dekad berlalu, luka rakyat Bosnia masih belum tertutup

PENDUDUK mengusung keranda kecil yang mengandungi tulang milik mangsa genosid untuk dikebumikan di Srebrenica, Bosnia Herzegovina. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SREBRENICA: Ribuan orang berkumpul di Srebrenica pada Jumaat untuk memperingati genosid yang berlaku 30 tahun lalu oleh tentera Serbia, antara kekejaman terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Pada malam sebelum acara peringatan, ribuan peserta Perarakan Keamanan Srebrenica berjalan lebih 100 kilometer bagi mengenang mangsa yang terkorban dan terselamat daripada pembunuhan beramai-ramai sebelum tiba di Pusat Memorial Srebrenica-Potocari.

Perang tercetus selepas Bosnia mengisytiharkan kemerdekaan, yang disokong oleh komuniti Muslim dan Croat, tetapi ditolak oleh Serbia.

Pada 11 Julai 1995, selepas lebih tiga bulan dikepung, tentera Serbia menawan bandar timur tersebut yang ketika itu merupakan kawasan perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam tempoh beberapa hari, mereka membunuh 8,000 lelaki dan remaja lelaki Muslim serta menanam mereka dalam kubur besar.

Sekitar 100 wanita turut terbunuh dengan 80 daripada mereka masih belum ditemui.

Setakat ini, sebanyak 7,000 mangsa sudah dikenal pasti dan dikebumikan, sementara 1,000 lagi masih hilang.

Bagi menutup jenayah tersebut, pihak berkuasa Serbia memindahkan mayat ke kubur besar kedua, menyebabkan banyak jenazah hancur akibat jentera berat, menurut pakar forensik.

“Selama 30 tahun kami memikul kesakitan ini dalam jiwa,” kata Munira Subasic, Presiden Persatuan Ibu-Ibu Srebrenica.

Suaminya Hilmo dan anak lelaki mereka Nermin yang berusia 17 tahun terbunuh dalam pembunuhan itu.

“Anak-anak kami dibunuh, tidak bersalah, di zon perlindungan PBB. Eropah dan dunia hanya melihat dalam diam ketika anak-anak kami dibunuh,” katanya.

Dalam acara peringatan itu, mayat tujuh mangsa pembunuhan akan dikebumikan termasuk seorang lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita berumur 67 tahun.

Kebanyakan jenazah mangsa tidak lengkap dengan sesetengahnya hanya tinggal satu atau dua tulang.

Keluarga mereka menunggu bertahun-tahun untuk mengebumikan orang tersayang, dengan harapan lebih banyak sisa tulang dapat ditemukan

Namun, Mevlida Omerovic memutuskan untuk tidak menunggu lagi bagi mengebumikan suaminya, Hasib.

Hasib terbunuh pada usia 33 tahun, dipercayai di Petkovci, kira-kira 60 kilometer di utara Srebrenica. Di situ, sekitar 1,000 orang telah dikumpulkan dan dikurung di sebuah sekolah sebelum dihukum mati.

“30 tahun sudah berlalu, saya tiada apa lagi untuk ditunggu,” kata Omerovic, 55.

Dia mahu dapat menziarahi kubur suaminya, walaupun hanya tulang rahangnya yang akan dikebumikan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN