GAZA: Serangan mengejut yang dilancarkan pejuang Palestin, Hamas di Gaza bukan sahaja mengejutkan dari segi kesannya, tetapi juga lokasinya.
Pada malam Isnin, sekumpulan tentera Israel yang sedang melalui laluan biasa digunakan oleh kereta kebal dan kenderaan perisai kira-kira satu batu dari pagar sempadan telah diserang dengan bom kawalan jauh. Serangan itu menyasarkan anggota Batalion Netzah Yehuda, unit khas yang terdiri daripada tentera ultra-Ortodoks.
Ketika bantuan tentera lain tiba, bom kedua meletup yang juga dikendalikan dari jauh. Tidak lama selepas itu, letupan ketiga berlaku diikuti dengan tembakan senjata ringan oleh sel Hamas yang bersembunyi berdekatan.
Dalam tempoh beberapa minit, lima tentera Israel terbunuh manakala 14 lagi cedera, sebahagiannya parah.
Serangan itu berlaku di bandar Beit Hanoun di timur laut Gaza, berhampiran bandar Sderot di Israel, di kawasan yang sepatutnya berada di bawah kawalan tentera Israel.
Siasatan awal mendapati Hamas memasang bahan letupan tersebut dalam tempoh 24 jam sebelum serangan, sebagai satu bentuk serangan hendap terhadap tentera Israel yang dipercayai beroperasi dalam keadaan selamat kerana lokasinya yang berdekatan dengan wilayah Israel.
Serangan ini mencerminkan perubahan ketara dalam pendekatan Hamas yang kini mengamalkan taktik gerila dalam usahanya meneruskan kempen insurgensi terhadap pasukan Israel, walaupun kumpulan itu telah dilemahkan selepas hampir 21 bulan perang.
Namun, dalam keadaan yang serba kekurangan sekalipun, Hamas terus berjaya melancarkan serangan maut ke atas tentera Israel di Gaza.
Sepanjang konflik ini, pasukan Israel terpaksa berulang kali kembali ke kawasan yang pernah mereka dakwa telah ‘dibersihkan’ apabila pejuang Hamas muncul semula dan kembali menentang.
Siri serangan terbaharu ini memperlihatkan betapa sukar matlamat Israel untuk menghapuskan Hamas secara total.










