LONDON: Syarikat telekomunikasi O2 bekerjasama dengan Marc Teyssier, seorang pakar teknologi kreatif terkemuka mencipta satu sarung telefon yang direka khas menyerupai kulit manusia.
Dinamakan ‘Skincase’, sarung ini dicetak tiga dimensi (3D) menggunakan silikon menjadikannya bukan sahaja kelihatan seperti kulit manusia, tetapi juga terasa seperti kulit sebenar apabila disentuh.
Lebih ‘menyeramkan’, ia tersedia dalam empat tona kulit dan mengandungi pigmen khas yang bertukar warna apabila terdedah kepada sinaran UV sama seperti kulit manusia yang terbakar di bawah cahaya matahari.
O2 berharap ciptaan ini akan menjadi peringatan kepada pelancong agar menjaga kulit mereka seperti mereka menjaga telefon mereka semasa bercuti.
“Kita tidak jangka telefon memberi reaksi seperti manusia.
“Dengan menghasilkan reaksi fizikal yang ketara terhadap sinaran UV, Skincase bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang keselamatan di bawah matahari malah menunjukkan bahawa perlindungan daripada sinar matahari adalah keutamaan yang tidak boleh diabaikan,” kata Teyssier.
Dengan ramai warga United Kingdom sedang menghitung hari untuk bercuti ke Eropah, O2 mahu mencipta satu cara unik untuk menyampaikan mesej penting tentang keselamatan kulit di bawah matahari.
“Cuti sepatutnya tentang mencipta kenangan indah bukan pulang dengan bil telefon tinggi atau kulit terbakar,” kata Ketua Pegawai Komersial Virgin Media O2, Christian Hindennach.









