Rishi Sunak derma gaji dari Goldman Sachs kepada badan amal

Rishi Sunak derma gaji diperoleh dari Goldman Sachs kepada badan amal

RISHI SUNAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengumumkan beliau akan menderma keseluruhan gajinya sebagai penasihat di syarikat pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs kepada badan amal yang ditubuhkannya bersama isteri, Akshata Murty, iaitu The Richmond Project.

Pelantikan itu menandakan kembalinya Sunak ke Goldman Sachs selepas 21 tahun, tempat beliau pernah berkhidmat dari tahun 2001 hingga 2004, sebelum terlibat secara aktif dalam politik.

Kini, beliau kembali ke firma kewangan berpengaruh itu sebagai penasihat kanan, sambil terus menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen Richmond dan Northallerton.

Menurut Jawatankuasa Penasihat Pelantikan Perniagaan (Acoba), Sunak tidak akan menerima sebarang ganjaran peribadi daripada pelantikan tersebut, sebaliknya pembayaran akan disalurkan terus kepada The Richmond Project, sebuah organisasi kebajikan yang bertujuan mempertingkatkan kemahiran nombor dalam kalangan rakyat Britain.

Badan amal itu memberi fokus kepada kanak-kanak yang bergelut dalam mata pelajaran matematik di sekolah, keluarga yang kurang yakin dengan keupayaan nombor serta orang dewasa yang tidak pernah menguasai asas matematik.

Pelantikan Sunak sebagai penasihat Goldman Sachs dibuat lebih setahun selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri susulan kekalahan Parti Konservatif dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Sunak turut dilantik memegang jawatan akademik di Universiti Oxford dan Universiti Stanford namun beliau tidak dibenarkan melobi kerajaan atau menggunakan hubungan bekas menteri untuk mempengaruhi dasar atau mendapatkan kelebihan perniagaan bagi tempoh setahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN