PBB persoal EU benarkan Netanyahu lintasi ruang udara ke AS walau dikenakan waran tangkap ICC - Utusan Malaysia

PBB persoal EU benarkan Netanyahu lintasi ruang udara ke AS walau dikenakan waran tangkap ICC

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempersoalkan tindakan beberapa negara Eropah membenarkan pesawat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, melintasi ruang udara mereka dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), walaupun pemimpin rejim itu berdepan waran tangkap antarabangsa.

Dalam kenyataan tegas yang disiarkan pada Rabu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese menyelar kerajaan Itali, Perancis dan Greece kerana memberikan “lalu lintas selamat” kepada Netanyahu, sedangkan ketiga-tiga negara berkenaan merupakan penandatangan Statut Rom dan secara teorinya terikat untuk menangkap pemimpin tersebut yang sedang dikehendaki atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam perang di Gaza.

“Rakyat Itali, Perancis dan Greece berhak mengetahui bahawa setiap tindakan politik yang mencabuli undang-undang antarabangsa melemahkan dan membahayakan keselamatan mereka. Dan keselamatan kita semua,” kata Albanese menerusi ciapan di platform X.

Lawatan Netanyahu ke Amerika Syarikat, yang menyaksikan beliau bertemu Presiden Donald Trump bagi membincangkan isu perpindahan paksa penduduk Palestin di tengah-tengah rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, bukanlah yang pertama sejak ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, tahun lalu.

Pada Februari lalu, Netanyahu turut terbang ke AS yang bukan ahli Statut Rom dan menjadi pemimpin asing pertama yang bertemu Trump selepas beliau mengangkat sumpah sebagai presiden pada Januari.

Laluan penerbangan ketika itu mengelak daripada melintasi negara-negara yang mungkin menguatkuasakan waran tangkap, sebaliknya memilih laluan di atas pangkalan tentera AS, menurut Duta Israel ke AS, Yechiel Leiter seperti dilaporkan akhbar Times of Israel.

Pada April, Netanyahu turut melawat Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban di Budapest, hanya sehari selepas ICC mengeluarkan waran tangkap dan menariknya, Hungary bertindak menarik diri daripada keanggotaan ICC sejurus sebelum ketibaan Netanyahu, sekali gus membuka laluan diplomatik yang selamat.

Dari Budapest, Netanyahu kemudiannya meneruskan penerbangan ke AS dengan mengambil laluan lebih jauh sejauh 400 kilometer berbanding biasa, semata-mata untuk mengelak daripada melintasi ruang udara Ireland, Iceland dan Belanda yang dikhuatiri akan melaksanakan waran tangkap, menurut akhbar Haaretz.

Secara prinsip, negara anggota ICC diwajibkan menangkap individu yang berdepan waran jika mereka berada di dalam wilayah negara berkenaan namun, dalam praktiknya, peraturan ini sering diabaikan.

Tindakan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) berhubung waran tangkap ICC ke atas Netanyahu juga berpecah-belah di mana beberapa negara menyatakan kesediaan untuk mematuhi komitmen tersebut, manakala Itali pula menyuarakan banyak keraguan terhadap kesahan waran sementara Perancis pula berpendapat Netanyahu mempunyai kekebalan daripada tindakan itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN