LONDON: Seorang lelaki warga emas berusia 92 tahun dipenjara seumur hidup semalam bagi kes rogol dan bunuh yang berlaku lebih setengah abad lalu, menjadikannya kes jenayah paling lama tertangguh yang berjaya diselesaikan dalam sejarah perundangan Britain.
Ryland Headley, yang didapati bersalah merogol dan membunuh Louisa Dunne, 75, selepas menceroboh rumah mangsa pada tahun 1967, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 20 tahun sebelum layak memohon pembebasan.
Hakim Mahkamah Mahkota Bristol, Derek Sweeting KC, berkata Headley tidak akan dibebaskan sehingga akhir hayatnya.
Hakim turut menyifatkan jenayah itu sebagai satu tindakan yang mencabul kesucian dan keselamatan rumah mangsa, tempat yang seharusnya menjadi ruang perlindungan terakhir bagi seorang wanita tua.
Lebih mengejutkan, mahkamah dimaklumkan Headley pernah disabitkan kesalahan pada tahun 1977 kerana menceroboh kediaman dua balu warga emas dan merogol mereka.
Beliau pada ketika itu dihukum penjara seumur hidup namun hukuman itu kemudian dikurangkan kepada tujuh tahun selepas rayuan.
Kes pembunuhan Louisa Dunne yang sebelum ini tidak berjaya diselesaikan telah dibuka semula pada tahun 2023, selepas teknologi forensik moden membolehkan pihak penyiasat mengenal pasti padanan DNA pada skirt mangsa dengan profil DNA Headley.
Selain itu, cap tapak tangan kiri yang ditemui di rumah mangsa turut dipadankan dengan Headley, bukti penting yang tersimpan selama lebih 50 tahun.
Difahamkan ketika siasatan asal dijalankan, polis telah memeriksa cap tangan 19,000 lelaki, namun gagal menemui padanan. Headley, yang ketika itu bekerja sebagai pekerja kereta api, tinggal di luar kawasan yang diperintahkan untuk memberikan cap tangan.
Sementara itu, pihak polis memaklumkan mereka sedang menyiasat kemungkinan penglibatan Headley dalam kes-kes jenayah lain yang masih belum diselesaikan.
“Kami percaya ada kemungkinan besar beliau terlibat dalam beberapa jenayah lain pada era 60-an dan 70-an, yang masih belum terbongkar,” ujar pegawai penyiasat, Dave Marchant daripada Polis Avon dan Somerset. -AGENSI










