WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi jaminan kepada para perantara pihaknya tidak akan membenarkan Israel menyambung semula serangan ketenteraannya terhadap Hamas di Gaza selepas tamatnya gencatan senjata 60 hari yang sedang dirundingkan.
Perkara itu dimaklumkan seorang diplomat Arab dan sumber yang arif tentang rundingan tersebut kepada The Times of Israel pada Rabu walaupun ia tidak dinyatakan secara jelas dalam teks perjanjian yang sedang dirundingkan di Washington dan Qatar.
Sama ada Israel dibenarkan untuk meneruskan perang selepas gencatan senjata dua bulan dan pembebasan 10 tebusan hidup serta 18 yang sudah meninggal dunia menjadi antara isu utama yang menghalang kemajuan dalam rundingan, walaupun para pemimpin dari semua pihak menyuarakan keyakinan satu perjanjian boleh dicapai tidak lama lagi.
Dalam satu sidang media di Rumah Putih pada Rabu, Trump menyatakan, perjanjian mengenai Gaza semakin hampir selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu media AS terdapat peluang baik untuk mencapai perjanjian.
Peta baharu
Menurut diplomat Arab, Israel sudah menyerahkan peta baharu berkaitan penarikan tenteranya dari Gaza semasa gencatan senjata, yang membawa kedua-dua pihak lebih hampir kepada persetujuan.
Namun, tentera Israel turut mengumumkan mereka sedang meluaskan operasi ketenteraan di utara Gaza, khususnya di Beit Hanoun, yang dikatakan sebagai lokasi persembunyian puluhan anggota Hamas dalam terowong.
Israel juga tetap berkeras untuk kekal di Koridor Morag di selatan Gaza, kawasan yang memisahkan bandar Rafah dan Khan Younis.
Rejim itu merancang membina ‘bandar kemanusiaan’ antara Koridor Morag dan Koridor Philadelphi, tempat keseluruhan penduduk Gaza akan dikumpulkan dan dihalang keluar selepas disaring.
Sumber tidak mengesahkan sama ada Israel bersetuju untuk menarik diri sepenuhnya dari Koridor Morag tetapi memaklumkan tekanan dari AS agar rejim itu melonggarkan pendiriannya disampaikan dalam satu mesyuarat antara Witkoff dan delegasi Qatar di Rumah Putih pada Selasa, yang turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Strategik Israel, Ron Dermer.
Sumber Hamas pula menyatakan rundingan masih belum menunjukkan kemajuan, dan menyalahkan Israel yang lebih banyak mendengar daripada berunding, mencerminkan dasar Netanyahu yang mahu terus menyekat dan menggagalkan sebarang kemungkinan perjanjian.
Israel menegaskan, sebarang perjanjian mesti merangkumi pilihan untuk menyambung semula perang selepas tempoh 60 hari, manakala Hamas pula mahukan jaminan gencatan senjata akan membuka jalan kepada penamatan konflik.
Walaupun AS menentang kesinambungan perang oleh Israel, Washington tidak mahu kemungkinan itu disingkirkan daripada teks perjanjian kerana ia dianggap penting sebagai tekanan ke atas
Hamas dalam rundingan akan datang mengenai gencatan senjata kekal.
Tambahan pula, jaminan secara bertulis tentang penamatan perang boleh menyebabkan kerajaan campuran Netanyahu tumbang, memandangkan parti gabungan sayap kanan beliau berikrar untuk menarik diri sekiranya Israel memberi komitmen awal untuk menamatkan perang.
Netanyahu sendiri menolak idea itu secara terbuka berulang kali sepanjang lawatannya di AS minggu ini.
Rangka draf perjanjian dirangka perantara dari AS, Mesir dan Qatar yang disokong Israel menyatakan rundingan mengenai gencatan senjata kekal akan diadakan sepanjang tempoh gencatan sementara yang boleh dilanjutkan lagi selepas 60 hari jika kedua-dua pihak berunding dengan ‘niat baik’.
Namun, dalam jawapan rasmi Hamas bertarikh 4 Julai, kumpulan itu mahu membuang klausa niat baik itu, kerana ia dianggap memberi ruang kepada Israel untuk menyambung semula perang seperti yang berlaku pada Mac lalu.
Walaupun Washington menolak penghapusan klausa itu, utusan khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff menyampaikan jaminan lisan yang Trump sendiri akan memastikan gencatan senjata kekal sehingga perjanjian penuh dicapai, menurut dua sumber terbabit.
Netanyahu pula mengulangi janjinya pada Selasa untuk menyelesaikan misi menentang Hamas dan hanya akan menamatkan perang jika mereka melucutkan senjata dan para pemimpinnya berada dalam buangan, syarat yang lama ditolak kumpulan itu.
Optimis rundingan berjaya
Berkaitan bantuan kemanusiaan, para perunding di Doha menyokong cadangan agar Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang dibiayai AS itu tidak beroperasi di kawasan yang sudah ditinggalkan oleh tentera Israel.
Jelas sumber, hanya agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi antarabangsa yang bebas dari kaitan dengan Israel dan Hamas dibenarkan mengagihkan bantuan di kawasan itu.
Rumah Putih mengumumkan Witkoff akan ke rantau tersebut minggu ini untuk meneruskan perbincangan, namun dua sumber berkata, lawatannya pada Selasa ditangguhkan kerana rundingan masih belum cukup matang untuk dimuktamadkan.
Seorang pegawai kanan Israel pula memberitahu media pada Isnin, respons Hamas pada 4 Julai itu menyebabkan kemajuan mundur ke belakang dan mungkin mengambil masa beberapa hari lagi untuk mencapai kesepakatan.
Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar berkata, pihaknya bersedia berunding gencatan senjata kekal sekiranya perjanjian sementara dicapai dan menolak dakwaan rejim itu sengaja mahu melanjutkan peperangan.
“Kami komited terhadap objektif peperangan ini tetapi peperangan itu sendiri bukan objektif kami.
“Kami lebih suka mencapai matlamat melalui cara diplomasi. Hamas memulakan perang ini dan bertanggungjawab memanjangkannya,” katanya.










