BEIRUT: Timbalan Ketua Hezbollah, Sheikh Naim Qassem, menolak cadangan pelucutan senjata kumpulannya seperti yang dikemukakan Amerika Syarikat (AS) kepada kerajaan Lubnan bulan lalu.
Kenyataan itu dilihat sebagai cabaran langsung terhadap usaha damai yang sedang digerakkan Washington antara Israel dan Lebanon.
Dalam satu mesej video yang disiarkan pada Jumaat, Qassem menyatakan Hezbollah tidak akan menyerah atau tunduk kepada Israel. dan Zionis tidak akan dapat merampas senjata mereka.
Beliau memberi amaran ketiadaan kekuatan “penentangan” seperti Hezbollah akan membuka ruang kepada peluasan pengaruh dan kehadiran ketenteraan Israel di Lebanon.
Qassem menegaskan fokus utama ketika ini ialah ancaman sebenar terhadap negara, bukannya isu pelucutan senjata.
“Apabila ancaman itu telah dihapuskan, barulah kita boleh berbincang soal strategi keselamatan atau pertahanan negara,” ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, dalam wawancara bersama stesen Al Jadeed TV pada hari yang sama menyifatkan cadangan AS itu sebagai satu “peluang berpotensi” untuk mencapai pengunduran Israel dari wilayah Lebanon.
Salam turut mengakui senjata Hezbollah memainkan peranan besar dalam membebaskan selatan Lebanon daripada pendudukan Israel pada tahun 2000, namun berpendapat bahawa senjata tersebut kini sepatutnya berada di bawah kawalan negara.
Cadangan pelucutan senjata itu dikemukakan oleh Thomas Barrack, Duta AS ke Turkiye dan Utusan Khas ke Syria, yang terlibat dalam pelan damai serantau. Beliau sebelum ini menyatakan rasa puas hati terhadap maklum balas awal yang diterima daripada pihak berkuasa Lebanon, termasuk rancangan tindakan susulan yang disebut sebagai “go-forward plan”.
Pemimpin baharu Lebanon, yang mengambil alih pentadbiran selepas lebih setahun konflik antara Israel dan Hezbollah, menyokong cadangan tersebut dan menjanjikan pemilikan senjata yang dikawal secara eksklusif oleh negara. Mereka turut menuntut agar Israel mematuhi gencatan senjata yang dipersetujui pada November lalu.
Di bawah perjanjian itu, Hezbollah sepatutnya menarik pasukannya ke utara Sungai Litani iaitu kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel manakala Israel dijangka berundur sepenuhnya dari wilayah Lebanon.
Namun, Israel dilaporkan masih mengekalkan kehadiran tenteranya di lima kawasan strategik dan terus melancarkan serangan udara hampir setiap hari, sekali gus melanggar terma gencatan.