Gencatan senjata hanya 'waktu rehat', Israel tetap mahu rampas Gaza

Gencatan senjata hanya ‘waktu rehat’, Israel tetap mahu rampas Gaza

Perkembangan terkini di Gaza dijangka turut menjadi tumpuan dalam AMM-58 yang bermula hari ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pakar memberi amaran Israel kini meluaskan rancangan untuk memaksa rakyat Palestin keluar dari Gaza secara terancang.

Sarjana Pusat Pengajian Arab Kontemporari Universiti Georgetown, Khaled Elgindy menegaskan, gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat (AS) mungkin berfungsi sebagai ‘waktu rehat taktikal’ yang dijangka hanya mampu mencetus jeda sementara dan bukannya menghentikan pepe­rangan sepenuhnya.

Rabu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan menerusi platform Truth Social, Israel sudah menerima syarat utama untuk satu gencatan senjata selama 60 hari, walaupun beliau tidak memperincikan butiran perjanjian tersebut.

Trump berkata, Qatar dan Mesir yang memainkan peranan penting dalam rundingan akan membentangkan cadangan ak­hir itu kepada Hamas malah, mengugut keadaan akan menjadi lebih buruk jika kumpulan pejuang Palestin itu menolak perjanjian tersebut.

Pengumuman itu dibuat menjelang pertemuan Trump dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih minggu hadapan di mana beliau menyatakan akan mengambil pendirian yang amat tegas.

Trump turut menyuarakan keyakinan perjanjian gencatan senjata itu mampu dimuktamadkan seawal minggu depan.

Namun begitu, kenyataan itu tidak selari dengan situasi sebenar di lapangan.

Awal minggu ini, jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee mengumumkan operasi ketenteraan baharu di utara Gaza, yang bertujuan untuk menghapuskan pengganas dan infrastruktur pengganas.

Pada 29 Jun, tentera Israel malah mengarahkan pemindahan besar-besaran dari Gaza Utara dan Jabalia ke Sheikh Radwan, memberi amaran kepada penduduk supaya bergerak ke selatan sebelum serangan udara dipertingkatkan.

Walaupun Israel menunjuk­kan keterbukaan kepada gencatan senjata jika Hamas membebaskan baki tebusan, ia tetap menegaskan tuntutan pelucutan senjata atau pengusiran pemimpin kumpulan itu.

Taktik pengusiran secara sukarela

Malah, beberapa menteri Israel mengugut untuk meletak jawatan jika terdapat sebarang perjanjian yang tidak menjamin kekalahan Hamas sepenuhnya.

“Saya tidak nampak sebarang petunjuk kita menuju ke arah gencatan senjata.

Netanyahu jelas tidak mahu menghentikan pengeboman dan kelaparan di Gaza.

“Beliau dan Menteri Pertahanannya, Israel Katz, sudah menyatakan secara terbuka mereka tidak akan membenarkan sebarang bantuan kemanusiaan sedangkan itu adalah keperluan paling mendesak sekarang, lebih penting daripada gencatan senjata,” katanya.

Menurut Khaled, Israel sedang melaksanakan pelan untuk memaksa perpindahan penduduk Palestin melalui kelaparan, pengeboman dan kemusnahan berterusan.

Jelasnya, pemimpin Israel terang-terangan menyatakan matlamat mereka me­ngosongkan Gaza daripada penduduknya dan tindakan mereka selaras dengan kenyataan itu.

Pelan yang diluluskan kabinet keselamatan Israel dan disokong oleh AS itu didakwa bertujuan menumpukan penduduk Gaza di satu kawasan kecil di selatan sambil mengambil alih kira-kira 75 peratus wilayah tersebut.

Beberapa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa se­perti Amnesty International dan Human Rights Watch mengecam tindakan ini sebagai satu bentuk pembersihan etnik dan kemungkinan jenayah perang, kerana melibatkan pemindahan paksa serta hukuman kolektif ke atas penduduk awam.

Dengan bantuan kemanusiaan disekat dan ruang hidup semakin sempit, lebih 2.2 juta penduduk Gaza kini berdepan dengan keputusasaan yang semakin memuncak dan harapan untuk terus hidup yang semakin pudar.

Pemimpin Israel, termasuk Netanyahu dan anggota gabu­ngan sayap kanan beberapa kali menyuarakan hasrat untuk menakluk dan mungkin merampas sebahagian Gaza.

Ada juga yang menyeru agar penduduk Gaza diusir keluar, yang mencetus kecaman antarabangsa dan desakan agar bantuan ketenteraan kepada Israel dihentikan.

Khaled turut mendedahkan Israel mempunyai perjanjian tidak rasmi dengan beberapa negara untuk menerima pelari­an Palestin dari Gaza, namun negara serantau seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi dilaporkan menolak keras cadangan itu.

Beliau turut menyelar penggunaan istilah penempatan semula secara sukarela oleh rejim itu sedangkan mereka secara terang-terangan ­menggunakan keadah paksaan menerusi pengeboman dan kelaparan.

“Namun, disebabkan soko­ngan terbuka dari kuasa besar dunia seperti AS terhadap idea pengusiran ini, Israel berasa ya­kin pelan ini bukan sahaja mungkin, malah berkemungkinan besar akan berjaya. Mereka juga tidak peduli ke mana penduduk Gaza akan pergi.

“Misi kepimpinan Israel sekarang ialah memaksa penduduk Gaza keluar dan itulah sebabnya mereka terus menggunakan kelaparan sebagai senjata.

“Rejim Zionis ini memang­gilnya penempatan semula secara sukarela. Tetapi sudah tentu, apabila anda mengebom dan menyebabkan penduduk kelaparan, tidak ada yang sukarela,” tegasnya.

Katanya, terdapat laporan Israel sanggup membelanjakan berjuta-juta dolar bagi mengusir penduduk Gaza, termasuk menawarkan sehingga AS$5,000 (RM21,088) bagi setiap keluarga sebagai insentif berpindah, berbanding menggunakan dana tersebut untuk membina semula infrastruktur musnah.

Beliau menegaskan, taktik pemindahan besar-besaran secara paksa yang dilakukan Israel ke atas Gaza kini turut menimbulkan persoalan mendesak tentang masa depan undang-undang antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×