EU sedia bantu sambung semula rundingan nuklear Iran - Utusan Malaysia

EU sedia bantu sambung semula rundingan nuklear Iran

GAMBAR satelit menunjukkan kawah baharu akibat serangan udara di kawasan kemudahan Pengayaan Bahan Api Fordow yang terletak di timur laut bandar Qom, Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) menyatakan kesediaannya untuk memudahkan penyambungan semula rundingan mengenai program nuklear Iran selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kata Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas pada Selasa.

“Rundingan mengenai program nuklear Iran perlu dimulakan semula secepat mungkin,” kata Kallas dalam kenyataan di platform X selepas perbualan telefon dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.

Katanya, kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga mesti disambung semula dan EU sedia untuk membantu proses ini.

Kallas turut memberi amaran kepada Tehran bahawa sebarang ancaman untuk menarik diri daripada Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT) hanya akan memburukkan lagi ketegangan serantau.

Panggilan itu dibuat selepas Araghchi menolak kemungkinan rundingan segera dengan AS selain menyatakan bahawa Iran memerlukan jaminan keselamatan terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan boleh dimulakan semula.

Rundingan antara Iran dan AS mengenai isu nuklear terhenti apabila Israel menyerang beberapa tapak nuklear dan infrastruktur ketenteraan Iran.

Serangan itu disusuli serangan udara ke atas tiga tapak nuklear utama iaitu Fordo, Natanz dan Isfahan oleh AS pada 21 Jun.

EU telah lama memainkan peranan sebagai pengantara dalam isu nuklear Iran.

Blok 27 negara itu adalah penandatangan dan pemudah cara kepada perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan kuasa-kuasa dunia. Namun, perjanjian itu goyah selepas Presiden AS ketika itu, Donald Trump menarik diri dari perjanjian tersebut pada 2018. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN