WASHINGTON: Jutawan terkenal, Elon Musk mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang dinamakan Parti America untuk mencabar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump selepas hubungan mereka retak bulan lalu.
Pengumuman itu dibuat di platform media sosial X miliknya di mana beliau menggambarkan parti itu sebagai alternatif kepada sistem dua parti tradisional Republikan dan Demokrat di AS.
Musk yang dilahirkan di Afrika Selatan dan tidak layak bertanding jawatan Presiden AS bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang akan menerajui parti tersebut.
Beliau pertama kali membangkitkan idea penubuhan parti ketika perselisihannya dengan Trump memuncak di media sosial selepas memilih berundur daripada peranan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Musk turut menjalankan satu tinjauan di X, bertanya kepada pengguna sama ada AS memerlukan parti politik baharu, yang menerima lebih 1.2 juta respons.
“Dengan nisbah 2 kepada 1, anda mahukan parti politik baharu dan anda akan memperolehinya!
“Apabila melibatkan isu pembaziran dan penyelewengan yang hampir menjadikan negara ini muflis, kita sebenarnya hidup dalam sistem satu parti, bukan demokrasi.
“Hari ini, Parti America ditubuhkan untuk mengembalikan kebebasan anda,” katanya.
Musk turut berkongsi meme yang menggambarkan ular berkepala dua dan kapsyen ‘Hentikan Uniparti’.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum jelas sama ada parti berkenaan sudah didaftarkan secara rasmi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC).










