GAZA: Pendedahan terbaharu mengenai pengedaran tepung bercampur dadah jenis oxycodone di Gaza di bawah nama ‘bantuan kemanusiaan’ tajaan Amerika Syarikat (AS) dan Israel mencetuskan kejutan serta kemarahan antarabangsa dengan ramai menggelarnya sebagai tindakan bioterorisme terhadap rakyat Palestin yang kelaparan.
Pakej bantuan yang dihantar melalui Pusat Bantuan AS-Israel dilaporkan mengandungi dadah opioid yang sangat kuat dipercayai disorok dalam bungkusan tepung. Tindakan ini dilihat sebagai sebahagian daripada taktik yang lebih luas untuk mengaburi mata dunia sambil memusnahkan rakyat Gaza secara fizikal dan psikologi.
Kontroversi mengenai pusat pengedaran bantuan ini terus memuncak sejak ia mula beroperasi pada Mei 2025.
Setakat ini, dianggarkan seramai 549 orang awam Palestin terbunuh ketika menunggu bantuan makanan di pusat-pusat ini, manakala lebih 4,000 lagi cedera dengan angka yang meningkat setiap hari.
Seramai 39 individu Palestin pula dilaporkan hilang selepas mengunjungi pusat berkenaan, isu yang sehingga kini kurang diberi perhatian oleh masyarakat antarabangsa.
Kenyataan yang lebih membimbangkan muncul apabila beberapa anggota Tentera Pendudukan Israel sendiri mengaku menerima arahan untuk melepaskan tembakan ke arah orang awam Palestin yang beratur untuk mendapatkan makanan.
Organisasi antarabangsa Médecins Sans Frontières (MSF) menyifatkan situasi ini sebagai penyembelihan yang disamarkan sebagai bantuan kemanusiaan.
Laporan dari Middle East Eye pula mendedahkan bungkusan tepung yang diedarkan melalui pusat bantuan AS-Israel mengandungi dadah oxycodone, sejenis opioid kuat yang sering digunakan sebagai ubat tahan sakit tetapi juga mempunyai tahap ketagihan yang tinggi.
Penemuan ini, walaupun mengejutkan tapi tidak lagi asing bagi sesetengah pihak yang mengikuti perkembangan konflik ini.
Menurut pemerhati tempatan, jika pihak yang mengendalikan bantuan sanggup menembak mati mereka yang kelaparan maka tindakan mencampurkan dadah dalam makanan sebagai alat kawalan sosial adalah konsisten dengan strategi kekejaman yang sedang dijalankan.
Tindakan ini juga mengimbau semula dakwaan terdahulu terhadap Israel yang dikatakan membanjiri Gaza dengan ubat-ubatan opioid sejak dua dekad lalu termasuk tramadol iaitu dadah tahan sakit yang terkenal dengan kesan ketagihan.
Dalam dokumentari tahun 2010 yang memfokuskan isu ketagihan tramadol di Gaza selepas operasi ketenteraan Israel Cast Lead, bekas Ketua Pasukan Anti-Dadah Palestin, Jamil Al Dahshan mendedahkan bahawa majoriti bekalan dadah itu datang dari Israel dan masuk ke Gaza melalui sempadan Mesir. -AGENSI










