Beg tangan Hermes dilelong RM44 juta - Utusan Malaysia

Beg tangan Hermes dilelong RM44 juta

BEG tangan Hermes yang direka khas untuk penyanyi dan pelakon terkenal, Jane Birkin dilelong pada harga 8.6 juta euro. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sebuah beg tangan usang tetapi unik yang direka khas untuk penyanyi dan pelakon terkenal, Jane Birkin oleh jenama mewah Hermès dilelong pada harga 8.6 juta euro (RM44 juta) dalam satu acara lelongan di Paris, menjadikannya aksesori fesyen paling mahal pernah dijual di benua Eropah.

Beg tangan prototaip berwarna hitam itu yang digunakan Birkin selama sembilan tahun masih mengekalkan pelekat asal yang ditampal oleh ikon budaya Perancis itu, yang juga dikenali sebagai ‘petite Anglaise’ kesayangan rakyat Perancis.

Beg tersebut pada awalnya dijangka dijual pada harga enam angka, namun suasana bertukar hangat apabila bidaan dibuka oleh rumah lelongan terkenal, Sotheby’s pada harga sejuta euro (RM5 juta)

Pertarungan sengit selama 10 minit membabitkan sembilan pembida termasuk secara telefon dan dalam talian, sebelum ia dimenangi oleh seorang pengumpul persendirian dari Jepun.

Sotheby’s dalam kenyataannya menyifatkan harga luar biasa itu sebagai yang kedua tertinggi bagi aksesori fesyen di peringkat global, dan tertinggi pernah dicatatkan di Eropah.

Menurut Ketua Global Bahagian Beg Tangan dan Fesyen Sotheby’s, Morgane Halimi, kejayaan jualan tersebut menunjukkan kekuatan legenda Birkin dan bagaimana nilai sentimental mampu membakar semangat para pengumpul untuk memiliki barangan unik yang penuh sejarah.

“Beg tangan prototaip ini adalah titik mula kepada kisah luar biasa yang melahirkan ikon moden, iaitu beg Birkin – beg tangan paling diidamkan di dunia,” katanya.

Tambah beliau lagi, kejayaan ini turut menjadi satu penghormatan kepada semangat dan aura abadi Jane Birkin, yang meninggal dunia pada tahun 2023.

Pemilik terakhir beg berkenaan yang hanya dikenali sebagai Catherine B, tidak mendedahkan berapa harga yang dibayarnya sebelum ini namun beliau mengakui terkejut dengan keputusan lelongan tersebut dan tersentuh dengan minat mendalam pembida lain yang sanggup bertarung demi memiliki beg ikonik itu.

Beg Birkin pertama itu berbeza daripada model pengeluaran kemudiannya di mana ia bersaiz istimewa, mempunyai tali bahu, serta dilengkapi perkakasan tembaga, yang kemudiannya digantikan dengan logam bersadur emas dalam versi komersial.

Sementara itu, rekod dunia bagi aksesori fesyen paling mahal pernah dilelong masih dipegang oleh sepasang kasut merah delima yang dipakai dalam filem The Wizard of Oz, yang dijual pada harga AS$32.5 juta (RM152 juta) pada tahun 2024. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN