CHICAGO: Kamel Musallet, bapa kepada Sayfollah Musallet, seorang warganegara Amerika Syarikat (AS) yang dibunuh oleh penduduk haram Israel pada Jumaat lalu, menyuarakan kekecewaannya terhadap sikap pegawai AS yang didakwa tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap pembunuhan anaknya.
Dalam temu bual bersama Arab News, Kamel berkata kematian anaknya harus diberi layanan sama seperti kes pembunuhan mana-mana warga AS di luar negara.
“Anak saya adalah rakyat AS. Mengapa tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa AS?” soal beliau.
Sayfollah Musallet, 20, yang lahir dan dibesarkan di Florida, pergi ke Tebing Barat yang diduduki untuk melawat keluarga di kampung Al-Mazra’a Ash-Sharqiya, apabila dia diserang oleh sekumpulan pendatang haram Israel di atas tanah milik keluarga mereka.
Menurut Kamel, beliau hanya menerima ucapan takziah daripada ‘seseorang’ di Kedutaan AS di Baitulmuqaddis, tetapi belum ada sebarang kenyataan atau respons rasmi daripada mana-mana pegawai di AS.
Lebih menyayat hati, beliau mendakwa tentera Israel menghalang keluarga dan pasukan perubatan daripada memberi bantuan kepada Sayfollah yang cedera parah.
“Dia terbaring di situ, sedang nazak, hampir tiga jam lamanya sebelum meninggal dunia,” katanya.
Kamel turut mendakwa kejadian ini adalah sebahagian daripada usaha sistematik oleh pendatang haram Israel untuk merampas tanah milik Palestin.
“Mereka menyerang sesiapa sahaja yang mereka jumpa, menebang pokok zaitun, membunuh ternakan dan mendirikan khemah di atas tanah kami bagi membina penempatan baharu.
“Kami telah meminta perlindungan, tetapi tidak mendapat sebarang bantuan. Ini bukan baru, mereka telah melakukannya selama bertahun-tahun,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan seluruh keluarganya adalah warganegara AS dan kecewa kerana tiada suara dari pihak AS yang membela mereka.
“Siapa yang bercakap bagi pihak kami? Di manakah suara dari Washington untuk mempertahankan rakyatnya sendiri? Kami tuntut keadilan sekarang,” tegas Kamel.










